Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba

KUALA LUMPUR- Mesyuarat Khas Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan esok akan membincangkan langkah-langkah yang perlu diambil kerajaan sekiranya kes positif Covid-19 terus menunjukkan peningkatan.

“Kami akan mengadakan mesyuarat esok. Semalam, Perdana Menteri sudah mempengerusikan mesyuarat yang membincangkan mengenai SOP ibadah korban dan sambutan Hari Raya Aidiladha manakala esok kami akan membincangkan mengenai kes-kes Covid-19 pula.

“Kami akan melihat secara terperinci sama ada terdapat peningkatan kluster baharu mahu pun kes-kes positif Covid-19 baharu.

“Jika ada peningkatan, kami akan membuat keputusan mengenai langkah selanjutnya,” kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Adham Baba ketika ditanya kemungkinan kerajaan Persekutuan akan mengikut jejak langkah kerajaan negeri Sarawak yang menghadkan waktu operasi perniagaan di kawasan-kawasan zon merah dan kuning mulai 1 Ogos ini.

Hari ini terdapat peningkatan kes baharu positif Covid-19 kepada 39 kes yang mana 28 adalah penularan tempatan manakala 11 kes import. Tiada kematian direkodkan hari ini.

Dua kluster baharu telah dikesan hari ini iaitu PUI Sivagangga di Kedah (lima kes positif) dan Kluster Satok, Sarawak (empat positif).

Terdahulu, Adham menyaksikan pemeteraian perjanjian penajaan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Clinical Research Malaysia kepada Pakar Perubatan Onkologi, Hospital Umum Sarawak, Dr. Voon Pei Jye untuk menjalani Latihan Fellowship Klinikal di Pusat Kanser Princess Margaret, Universiti Toronto, Kanada.

Pusat Kanser Princess Margaret merupakan salah satu daripada lima pusat penyelidikan barah terbaik dan terbesar di dunia yang memfokus kepada bidang penyelidikan asasm penyelidikan terjemahan dan klinikal.

Dengan penerimaan Dr. Voon ke program berkenaan, Adham berkata, Malaysia kini bersedia untuk menjalankan penyelidikan klinikal fasa awal terutamanya dalam kajian klinikal pertama ke atas manusia.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast