Dr. Adham Baba

KUALA LUMPUR – Orang ramai yang berhimpun tanpa penjarakan sosial di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi memberi sokongan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini boleh dikenakan tindakan di bawah Akta 342.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Adham Baba, kesemua maklumat berhubung peraturan di bawah Akta 342 telah disampaikan secara jelas dan menyeluruh kepada rakyat.

“Kami telah menyampaikan semua maklumat berhubung peraturan-peraturan di bawah Akta 342 kepada rakyat melalui pelbagai cara.

“Dengan itu, semua pihak patut mengamalkan penjarakan sosial, tidak berada di tempat yang sesak dan tidak berbual dengan rapat kerana maklumat-maklumat tersebut telah disampaikan sebelum ini.

“Ketika ini, kami hanya mengharapkan penguatkuasaan undang-undang terhadap pelanggaran akta berkenaan.

“Jika ada yang membuat laporan, tindakan boleh diambil (kepada orang ramai yang berhimpun),” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pemeteraian perjanjian biasiswa pendidikan di antara Clinical Research Malaysia dengan Dr. Voon Pei Jye di sini hari ini.

Akta 342 atau Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau enam bulan penjara.
-MalaysiaGazette