Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pameran Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) bagi ST2/2020 akan dibuat selama 14 hari mulai 29 Julai hingga 11 Ogos 2020 di 912 tempat pameran RDPT ST2/2020 di seluruh negara.

RDPT ST2/2020 ini mengandungi 48,957 permohonan pendaftaran pemilih baru daripada warganegara yang layak dan 7,574 permohonan pertukaran bahagian pilihan raya daripada pemilih berdaftar yang telah memohon dalam tempoh antara 1 April hingga 30 Jun 2020.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata, semakan RDPT ST2/2020 boleh dibuat melalui beberapa kaedah semakan seperti berikut:
(a) Hadir ke 912 tempat pameran RDPT ST2/2020 di seluruh negara dan mengimbas Kod QR bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen yang diletakkan; atau
(b) Melayari portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri (Rujuk Lampiran A); atau
(c) Hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan dan menyemak buku RDPT ST2/2020 yang disediakan.

Bagi Pameran RDPT ST2/2020 ini, SPR tidak meletakkan salinan buku RDPT di 912 tempat-tempat pameran, sebaliknya hanya meletakkan sehelai notis bersaiz A4 yang mengandungi Kod QR   RDPT bagi bahagian pilihan raya parlimen yang berkenaan sahaja.

Kaedah ini untuk mengelakkan orang ramai menyemak nama dalam RDPT dengan menyentuh buku RDPT yang seterusnya boleh menyebabkan penularan wabak Covid-19.

Menurutnya, semua pemohon dinasihatkan untuk menyemak nama mereka dalam RDPT ST2/2020. Sekiranya pemohon mendapati namanya tidak disenaraikan dalam RDPT ST2/2020, mereka boleh membuat tuntutan melalui Borang B.

Bagi pemilih-pemilih berdaftar di satu-satu bahagian pilihan raya yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana orang di dalam RDPT ST2/2020 dalam satu-satu bahagian pilihan raya, boleh berbuat demikian, dengan mengisi Borang C.

Borang B dan Borang C boleh dimuat turun dari portal Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri dan hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar Pemilih (Pengarah Pilihan Raya Negeri) bagi kawasan pendaftaran yang berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh pameran RDPT itu diadakan.

Semasa tempoh Pameran RDPT ST2/2020, SPR juga mempamerkan nama-nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada daftar pemilih kerana telah meninggal dunia atau hilang
taraf kewarganegaraan atau apa-apa sebab berdasarkan kepada Peraturan 10 dan 25(2) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.

Sebarang pertanyaan mengenai pameran RDPT ST2/2020 boleh menghubungi talian hotline SPR di 03-8892 7018 atau mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri.

Pemohon juga boleh melayari portal SPR di https://pengundi.spr.gov.my/ atau aplikasi MySPR Semak untuk membuat semakan, ujarnya. – MalaysiaGazette