CIDB mengarahkan sebanyak 19 tapak pembinaan ditutup semalam kerana gagal patuh SOP. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seramai 238 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Daripada jumlah itu, seramai 42 individu telah direman manakala 196 individu pula dikenakan kompaun, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri.

Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti pub dan kelab malam (9) dan aktiviti yang tidak mengikuti prosedur operasi standard (SOP) sebanyak 229.

Dalam kenyataannya hari ini, beliau berkata, dari 1 Mei sehingga 28 Julai 2020, seramai 2,491 pendatang asing tanpa izin (PATI), 596 tekong serta 144 penyeludup telah ditahan dalam Ops Benteng.

Sebanyak 96 bot dan 257 kenderaan turut ditahan.

Petugas Ops Benteng juga berjaya mengusir 257 PATI dan 9 tekong serta 37 bot yang terlibat dalam percubaan mencerobohi sempadan negara.

”Semalam polis membuat 62 sekatan jalan raya Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 28,589 kenderaan bagi mengekang kemasukan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya di sini.

Dalam pada itu, katanya, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) yang membuat pemeriksaan mendapati 24 tapak binaan telah patuh SOP manakala empat tapak binaan gagal mematuhinya.

Dari 20 April sehingga 28 Julai 2020, jumlah kumulatif tapak binaan yang mematuhi SOP adalah 3,503 tapak binaan manakala 572 tapak binaan lagi tidak patuh SOP dan diberi amaran.

CIDB turut mengarahkan 19 tapak binaan untuk tutup kerana tidak mematuhi SOP. – MalaysiaGazette