Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 13 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer hari ini sekali lagi menghangatkan Dewan Rakyat apabila bangkit mengutarakan isu Ahli Parlimen kerajaan yang memasuki Dewan tanpa memakai pelitup muka semalam.

Rayer membangkitkan perkara itu sebelum sesi perbahasan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong mencelah bertanyakan samada mereka akan dikuarantin kerana terlibat dalam perhimpunan di Kompleks Mahkamah Jalan Duta semalam.

“Saya risau Ahli Parlimen Pontian tanpa memakai pelitup muka.

“Saya tanya Speaker untuk memohon sama ada mereka perlu dikuarantinkan kerana kami telah didedahkan.

“Ini adalah perkara penting kerana rakyat di luar sana ada tanya adakah ini hanya kepada rakyat bukan kepada Ahli Parlimen.

“Adakah perlu mereka dikuarantinkan Ahli Pontian, Baling dan Tanjung Karang,” katanya di dalam Dewan.

Menjawab pertanyaan itu, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata Dewan Rakyat tidak mempunyai kuasa untuk menghalang pergerakan mana-mana Ahli Parlimen ketika berada di luar dewan bagi mengekang penularan Covid-19.

Azhar Azizan bagaimanapun berkata, semua Ahli Parlimen dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Kita tidak ada kuasa untuk halang pergerakan yang berhormat di luar dewan dan sebagainya. Saya rasa selagi tidak dibuktikan mereka mempunyai gejala Covid-19 maka kita tidak boleh halang masuk ke dewan ini.

“Tapi saya selalu tekankan pada setiap masa, ahli berhormat saya nasihatkan agar mematuhi semua SOP,” katanya di Dewan Rakyat di hari ini.

Semalam, pertikaman lidah berlaku antara Rayer dengan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Azeez Abdul Rahim berhubung kehadiran beliau di Dewan.

“Pagi tadi (semalam) ada Ahli Parlimen telah hadir di perkarangan mahkamah tanpa memakai penutup muka dan gambar itu telah tular di media sosial. Antaranya Ahli Parlimen Baling,” kata Rayer yang bangun memberitahu Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said ketika sesi perbahasan semalam.

Bingkas bangun, Azeez yang menyangkal dakwaan itu dan berkata; “Saya pakai masklah. Jangan nak menipu.

Beberapa Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) dilihat hadir menyatakan solidariti mereka terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk pertuduhan penyewelengan dana SRC International berjumlah RM42 juta. – MalaysiaGazette