KUALA LUMPUR – Terdapat pertambahan 13 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini.
Lapan daripada kes baharu itu merupakan jangkitan kes import melibatkan empat warganegara Malaysia manakala empat lagi bukan warganegara yang dibenarkan masuk ke negara ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata, lapan kes import itu adalah dari United Kingdom, India, Filipina, Pakistan, Gambia dan Ukraine.
“Daripada lima kes penularan di dalam negara, tiga kes adalah di kalangan warganegara Malaysia dan dua kes adalah di kalangan bukan warganegara Malaysia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Berdasarkan perincian, kes penularan Covid-19 dalam negara di kalangan warganegara Malaysia adalah tiga kes dengan satu adalah saringan di tempat kerja, satu kes daripada Kluster Sentosa dan satu kes lagi saringan bergejala di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.
Bagi kes jangkitan dalam negara pula, Noor Hisham berkata, dua kes berkenaan adalah dalam kalangan warganegara iaitu daripada Kluster Mambong di Sarawak dan kes saringan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) sebelum dipindahkan ke Depot Tahanan Imigresen Kangar, Perlis.
Katanya lagi, sehingga kini, hanya dua kes positif wabak itu sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala satu kes memerlukan bantuan pernafasan.
Sebanyak lima kes dilaporkan pulih menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah sembuh sepenuhnya dari Covid-19 iaitu 8,612 kes atau 96.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Tiada pertambahan kes kematian akibat wabak itu menjadikan jumlah kumulatif yang meninggal dunia akibat Covid-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 124 kes atau 1.38 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. – MalaysiaGazette