Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA – Penggunaan pelitup muka secara mandatori bermula 1 Ogos ini adalah untuk kawasan awam yang sesak serta tidak dapat dipratikkan penjarakan sosialnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peraturan berkenaan yang sudah dilaksanakan di dalam pengangkutan awam, kini akan dikuatkuasakan untuk mereka yang sering mengunjungi kawasan awam yang sesak.

Bagaimanapun beliau tidak menyatakan tempat-tempat awam yang sesak itu di mana penggunaan topeng muka adalah wajib.

“Sekiranya anda berjalan sendiri, tidak perlulah memakai topeng muka.

“Tapi jika individu itu berada di tempat umum dan tempat itu sesak dan jarak sosial tidak dapat ditentukan, penggunaan topeng muka adalah wajib,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Libat Urus Media Bersama Ketua Pengarah Kesihatan: Kesiapsiagaan Kementerian Kesihatan Malaysia Dalam Menangani Pandemik Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan penggunaan pelitup muka secara wajib di kawasan tumpuan awam mulai 1 Ogos.

Perkara itu diumumkan Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob apabila memberitahu, orang ramai boleh didenda RM1,000 di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) sekiranya gagal mematuhi peraturan terbaharu itu.

Mengulas lanjut Noor Hisham berkata, pada mulanya kerajaan cuba untuk mengesyorkan penggunaan pelitup muka kepada semua orang sejurus sahaja mereka keluar dari rumah.

“Bagaimanapun, ini mungkin sukar untuk dilakukan oleh yang kurang berkemampuan dan tidak mempunyai bekalan pelitup muka yang mencukupi.

“Jadi, sekarang kita sedang meneliti bagaimana kita dapat membekalkan topeng jenis kain kepada mereka kerana pada masa ini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengatakan bahawa pengguna topeng muka jenis kain adalah selamat,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast