KUALA LUMPUR – PLUS Malaysia Bhd (PLUS) menyarankan pengguna-pengguna lebuh raya itu mengikuti saranan Jadual Waktu Perjalanan (TTA) untuk memulakan perjalanan di lebuh raya bagi mengelakkan kesesakan sempena Hari Raya Aidiladha.

Bagi pelanggan lebuh raya dari Kuala Lumpur/Selangor menuju ke Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Utara Perak dan Johor dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya sebelum jam 10 pagi.

Manakala pelanggan yang menuju ke lain-lain negeri disarankan supaya memasuki lebuh raya selepas jam 2 petang bermula hari ini sehingga 30 Julai 2020.

Sementara itu bagi perjalanan pulang semula ke Lembah Klang di antara 1 Ogos hingga 3 Ogos, jadual TTA menyarankan agar semua pelanggan lebuh raya daripada semua negeri memasuki lebuh raya sebelum jam 9 pagi, kata Mohd Yusuf Abdul Aziz, Ketua Operasi Kecemerlangan PLUS.

Tambahnya, PLUS telah menghentikan sementara kerja-kerja penyelenggaraan dan naik taraf di lebuh rayanya bermula 29 Julai hingga 3 Ogos ini.

PLUS juga menyediakan kren dan trak tunda tambahan bersiap sedia di 14 lokasi strategik bagi mempercepatkan kerja-kerja pengalihan dan penundaan kenderaan rosak atau terlibat dengan kemalangan di lebuh raya, selain menggunakan dron untuk membuat pemantauan trafik di lokasi-lokasi strategik di lebuh raya. – MalaysiaGazette