Foto hiasan

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bercadang untuk menambah pengetahuan kesihatan dalam silibus pembelajaran di sekolah bagi mendidik anak-anak mengenai langkah-langkah untuk mencegah jangkitan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kerjasama itu akan dilakukan dengan Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Sudah ada cadangan untuk ini. Kami sedang mencari untuk memasukkan apa yang dipraktikkan sekarang ke dalam silibus sekolah untuk anak-anak belajar dan berlatih,” katanya pada sesi libat urus bersama media di kementerainnya di sini hari ini.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai pembukaan semula sekolah, Noor Hisham memberitahu, setakat ini tidak ada insiden kes Covid-19 selepas sesi persekolahan dibuka.

“Dengan adanya prosedur operasi standard (SOP), sekolah adalah tempat yang selamat. Sekiranya ada risiko, kami akan menguruskannya dengan menutup sekolah yang terjejas.

“Apa yang ingin kita perhatikan sekarang adalah setelah sesi persekolahan berakhir,” katanya.

Noor Hisham berkata, pihaknya sedang mencari langkah untuk mengelakkan ibu bapa daripada berpusu ke arah pelajar ketika mengambil anak pulang dari sekolah.

Selain itu, langkah untuk mengelak pelajar daripada berkumpul ketika pulang ke rumah juga perlu diambil. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast