Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mahu melihat sama ada berlaku lonjakan kes Covid-19 berikutan situasi orang ramai di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur semalam apabila gagal mengamalkan penjarakan sosial.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkara itu boleh dilihat secara jelas dalam tempoh dua minggu akan datang.

“Pada masa ini, kami tidak dapat melakukan apa-apa kerana kejadian itu sudah berlaku.

“Tapi, jika dalam tempoh dua minggu ini terdapat peningkatan kes, maka kami akan mengambil langkah yang diperlukan untuk melakukan pengesanan kontak.

“Kami berharap tidak akan ada jangkitan besar berikutan kegagalan mereka yang tidak menjaga jarak sosial pada hari semalam,” katanya yang turut mengakui kecewa dengan kejadian itu.

Dalam kejadian semalam, penyokong bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak termasuk beberapa Ahli Parlimen yang berkumpul di hadapan Kompleks mahkamah berkenaan mengingkari prosedur operasi standard (SOP) dengan tidak mengamalkan penjarakan sosial.

Ribuan penyokong Najib dipercayai datang dari beberapa lokasi di seluruh negara, termasuk Pekan untuk memberi sokongan moral kepada beliau yang menghadapi pertuduhan penyewelengan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Selepas beberapa keping gambar yang menunjukkan situasi berkenaan, polis menerima arahan untuk mengambil tindakan mengkompaun di bawah Peraturan 3 Aktiviti Terlarang Akta 342 atau Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan 2020).

Kompuan tersebut dikeluarkan ekoran aktiviti yang melibatkan kehadiran ramai dan jelas menyukarkan penjarakan sosial serta Pematuhan SOP yang disarankan Ketua Pengarah KKM mengikut Akta 342.

Mengulas lanjut Noor Hisham menegaskan, pihaknya mengingatkan rakyat Malaysia setiap hari untuk mematuhi SOP dengan menjaga jarak keselamatan sekurang-kurangnya 1 meter, memakai pelitup muka dan kerap mencuci tangan.

Katanya, langkah melatih diri dengan duduk berjauhan antara individu adalah sangat penting untuk mencegah penyebaran Covid-19.

Ujarnya, pengamalan langkah seperti itu telahpun menunjukkan pengurangan risiko jangkitan sebanyak 65 peratus. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Yang dirancang cuma 3 bas sahaja, tapi secara sepontan berduyun2, berbondong2 rakyat datang beramai2!

    Walaupun diinaya untuk membayar LHDN RM1.69 billion, dipenjara 72 tahun dan didenda RM212 juta setakat ini, tapi rakyat tetap datang beri sokongan!

    Rakyat faham benar penginayaan terhadap beliau. Itulah pemimpin sejati pemimpin disayangi!

Comments are closed.