Adnan Mat. foto AFFAN FAUZI, 30 JUN 2020

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap agar proses pemberian lanjutan moratorium dan bantuan bersasar yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak akan dirumitkan dengan karenah birokrasi yang akhirnya menyulitkan rakyat.

Justeru Presidennya, Adnan Mat mencadangkan agar Bank Negara Malaysia (BNM) menetapkan satu standard atau garis panduan untuk kegunaan semua institusi kewangan dalam memastikan rakyat yang layak mendapat lanjutan moratirium tidak ketinggalan.

Tambah beliau, dalam masa sama kerajaan perlu menggunakan pendapatan isi rumah sebagai petanda aras kelayakan lanjutan moratorium ini.

“Selain itu, pemberian moratorium dan bantuan bersasar ini perlu mengambil kira keseluruhan pendapatan isi rumah dan bukan individu yang mempunyai pinjaman sahaja. Langkah ini bagi memastikan ia memberi manfaat yang menyeluruh kepada rakyat.

“Hal ini kerana mereka yang kehilangan pekerjaan atau terjejas pendapatan tidak semestinya memiliki pinjaman kerana pasangan mereka yang melakukan pinjaman tersebut tetapi pembayaran dilakukan secara bersama.

“Sebagai contoh, Ali seorang penjawat awam, manakala isterinya Julia bekerja di sektor swasta. Kedua-dua mereka memiliki sebuah kereta dan rumah melalui pinjaman yang dibuat Ali tetapi dibayar secara bersama. Semasa negara dilanda pandemik Covid-19, Julia telah kehilangan kerja manakala suaminya penjawat awam masih bekerja seperti biasa. Dalam hal ini Ali wajar diberikan lanjutan moratorium dan bantuan bersasar kerana pendapatan isi rumah mereka telah terjejas,” katanya menerusi kenyataan.

Sementara itu, Adnan berkata, CUEPACS menyambut baik langkah kerajaan melanjutkan moratorium dan bantuan bank bersasar khusus kepada golongan yang benar-benar memerlukan dan masih terjejas akibat penularan pandemik Covid-19.

Katanya, pengumuman itu membuktikan kesungguhan kerajaan dalam membantu rakyat khususnya mereka yang berada dalam kesempitan ketika ini.

CUEPACS dalam masa yang sama memuji komitmen bank-bank dan institusi kewangan di negara ini yang sanggup bersama kerajaan dalam mengharungi waktu sukar.

Adnan turut berharap agar semua rakyat kekal memberikan kerjasama kepada kerajaan dalam memastikan penularan Covid-19 dapat ditamatkan.

Muhyiddin dalam perutusan khas Lanjutan Moratorium Bersasar memberi khabar gembira kepada individu yang kehilangan kerja pada tahun ini dan masih belum mendapat pekerjaan baharu.

Golongan ini, kata beliau, layak menikmati moratorium lanjutan untuk tempoh tiga bulan lagi.

Selain itu, pekerja yang terpaksa dipotong gaji boleh mendapat pengurangan bayaran ansuran bulanan selaras dengan pengurangan gaji tersebut dan bergantung kepada jenis pinjaman untuk tempoh sekurang-kurangnya enam bulan.

Lanjutan boleh diberikan tertakluk kepada keadaan gaji semasa individu berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast