Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir bagi membayar wang jaminan selepas berjaya menangguhkan hukuman rasuah SRC International di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 29 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selesai membayar wang jaminan sebanyak RM2 juta di kaunter pendaftaran jenayah Mahkamah Tinggi di Kompleks Mahkamah Jalan Duta tengah hari tadi.

Kehadiran Najib di mahkamah kira-kira pukul 1 tengah hari tadi bagaimanapun tidak disedari oleh para petugas media yang telah menunggu sejak pagi kerana ahli Parlimen Pekan itu menggunakan laluan masuk yang berbeza.

Najib keluar setengah jam selepas itu ditemani anak lelakinya, Norashman Najib sambil dilihat tersenyum dan bercakap dengan beberapa penyokongnya.

Beliau juga sempat bergurau dengan para jurugambar yang merakamkan kehadirannya sambil berkata: “Cukuplah, semalam dah banyak sangat gambar.”

Najib turut melambai kepada wartawan sebelum masuk ke dalam kereta.

Semalam Hakim Mahkamah Tinggi. Mohd Nazlan Mohd Ghazali memutuskan wang jaminan sebanyak RM1 juta bagi menangguh hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan  berhubung kes penyelewengan dana  RM42 juta milik SRC International.

Namun demikian, Mohd Nazlan memerintahkan tambahan RM1 juta lagi wang jaminan bagi proses penangguhan hukuman itu semalam dengan dua penjamin.

Najib yang juga bekas Presiden UMNO didapati bersalah untuk kesemua tujuh pertuduhan iaitu salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Bagi pertuduhan salah guna kuasa, Najib dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta manakala bagi tiga pertuduhan pecah amanah Najib dipenjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan itu.

Untuk tiga lagi pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram, Najib turut dipenjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan.

Ini menjadikan jumlah 72 tahun penjara namun mahkamah memerintahkan kesemua hukuman itu berjalan secara serentak iaitu Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun.

Selain daripada membayar ikat jamin RM2 juta, Najib juga telah diperintahkan untuk melapor diri ke balai polis terdekat pada 1 dan 15 hari bulan setiap bulan. –MalaysiaGazette

Najib dihukum penjara 12 tahun, denda RM210 juta

1 Komen

  1. DSN, kami ank muda akn bersama dgn DS..insyllh kami doakn dsn shit n tabah dlm mghadapi dugaan ini, n juga insyllah kebenaran akn terbukti nnti dlm kes rayuan nnti..insyllah..kami harap penfitnah2 akn dpt balasan di atas dunia lg..biar kita tgok smua blasan yg Allah berikan kpd penfitnah2 ini..amin.

Comments are closed.