Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba memakai penutup hidung dan mulut pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja berhubung penularan jangkitan Covid-19 di Hospital Sungai Buloh, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 12 MAC 2020.foto HAZROL ZAINAL, 12 MAC 2020.

KUALA LUMPUR – Pemakaian pelitup muka tidak sesuai untuk kanak-kanak yang berumur kurang dari dua tahun.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, perkara sama turut melibatkan mereka yang sukar bernafas dan individu yang tidak sedarkan diri, kurang berupaya atau tidak dapat menanggalkan pelitup muka tanpa bantuan.

Malah, penggunaan pelitup muka juga tidak boleh dikongsi dengan orang lain selain perlu dipakai dan dilupuskan dengan cara yang betul, katanya.

“Bagi pelitup muka perubatan, pastikan ianya dipakai selepas memastikan kedudukan yang betul iaitu warna putih di sebelah dalam dan bahagian jalur logam berada di bahagian atas.

“Pakai pelitup muka dengan memegang pada bahagian pemegang sahaja dan menutupi ruang hidung sehingga dagu. Tekan bahagian jalur logam di kedua-dua belah tepi hidung
supaya tiada ruang di antara muka dan pelitup muka.

“Selepas digunakan, ianya perlu dibuka dengan memegang pada bahagian pemegang sahaja dan terus dilupuskan ke dalam tong sampah yang bertutup,” katanya menerusi kenyataan hari ini .

Menurut Adham, pelitup muka perubatan boleh digunakan untuk tempoh empat jam secara berterusan namun jika keadaan mendesak dan ianya tidak rosak, basah atau tercemar, pelitup muka itu boleh digunakan untuk satu hari.

Tambah beliau, pemakaian pelitup muka yang tidak sempurna seperti membiarkan ianya tergantung di leher, di dahi atau menutupi hanya sebahagian dari hidung dan mulut adalah tidak bertepatan dan membawa risiko pencemaran atau jangkitan kepada pemakai.

Katanya, apabila pelitup muka perlu dibuka contohnya semasa makan, ia boleh disimpan di dalam beg kertas atau bekas plastik yang boleh ditutup semula. – MalaysiaGazette