Tan Sri Annuar Musa
Tan Sri Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Tidak timbul UMNO keluar daripada Perikatan Nasional (PN) kerana badan itu hanya satu gabungan yang longgar dan tidak pernah didaftarkan sebagai parti politik, kata Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa.

Beliau menegaskan UMNO tidak pernah menyertai PN dan pembentukan kerajaan pada hari ini hanya melalui ahli Parlimen.

“Kita tidak masuk, kita jadi sebahagian daripada loose coalition, belum berdaftar, jadi tak timbul masuk, daftar pun tak ada.

“Tak timbul ahli Muafakat Nasional (MN) pula nak masuk PN. Jadi buat masa ini PN itu kekal sebagai konsep bukan menjadi sebuah (gabungan) parti.

“Itu konsep loose coalition antara parti-parit melalui ahli Parlimen membentuk kerajaan dan kita mahu kekal begitu,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Selayang Lama, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini bahawa parti Melayu itu tidak akan menyertai PN.

Sebaliknya UMNO mahu memperkukuhkan MN bersama Pas dan parti komponen Barisan Nasional (BN).

Dalam pada itu, memandangkan PN masih belum berdaftar sebagai parti politik yang sah, UMNO tidak berhasrat untuk menjadi sebahagian daripadanya bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

“Kita masih berbincang dalam kalangan parti-parti, apakah bentuk ataupun platform yang kita nak jadikan satu platform utama ke arah membentuk kerjasama bagi menyertai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

“Setakat yang kita bincang sekarang ini, secara majoriti parti-parti berpendapat mereka tak perlu mewujudkan banyak sekali nama parti itu, parti ini, badan itu badan ini.

“Sedangkan sudah ada BN, Muafakat Nasional (MN), ada GPS (Gabungan Parti Sawarak) dan sebagainya.

“Setakat ini, kita berbincang untuk parti-parti politik di Semenanjung ini kita merasakan gagasan MN itu perlu diperkukuhkan.

“Sebab itu MN membuka pintu kepada parti-parti lain untuk mempertimbangkan menyertai gagasan kami,” katanya.

Katanya lagi, MN mengalu-alukan mana-mana parti untuk menyertai gagasan itu dengan syarat demi penyatuan Melayu dan Islam.

“Mesti berteraskan penyatuan Melayu dan umat Islam, mesti bersatu padu untuk membolehkan kita memberikan keadilan dan perlindungan kepada bukan Melayu dan bukan Islam.

“Bukan bersatu nak apa-apakan orang lain, kita rasa ini adalah kelompok teras, kalau ia berpecah belah, orang lain nak tumpang pun tak boleh macam sekarang (PH) sebab nak tumpang PKR ker siapa, sudah berpecah belah.

“Sekarang ini kita merasakan untuk mewujudkan satu politik yang lebih kukuh, lebih padu dan boleh fokus kepada agenda membangun negara dan rakyat

“MN itu ada potensi yang boleh diperkukuhkan, jadi sekarang ini UMNO dan Pas, kalau parti lain nak sertai MN atau tujuan penyatuan, itu yang sebaik-baiknya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette