Zuraida bersama penduduk meninjau sendiri masalah keretakan tembok kediaman akibat air kolam renang yang dilepaskan pemilik persendirian atas bukit di Bukit Antarabangsa hari ini-Gambar ihsan UKK KPKT.

KUALA LUMPUR – Tindakan pemilik sebuah rumah mewah di atas bukit dipercayai yang melakukan aktiviti pengeringan kolam renang di rumahnya sehingga memberi kesan keselamatan kepada penduduk menjadi perhatian Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.

Ia kerana akibat kerja-kerja pengeringan itu penduduk sekitar di cerun bukit menghadapi masalah sejak sekian lama.

“Saya menerima petisyen laporan Sabtu lalu dari penduduk di sini iaitu seorang doktor bernama Paramesh di Jalan Wangsa 11, Bukit Antarabangsa mengenai masalah kebocoran aliran air sisa pengeringan kolam renang persendirian.

“Saya bersama pengadu turun sendiri melihat keadaan yang mana terdapat keretakan tembok rumah penduduk berdekatan di bawah cerun serta takungan air lebih setahun manakala rumah persendirian yang mencetuskan msalah kolam renang itu berada di atas cerun.

“Hasil tinjauan saya membuat keputusan dan tindakan susulan meminta pegawai Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) segera mengeluarkan notis kepada pemilik itu menghentikan serta-merta aktiviti pengeringan kolam di kediamannya,” katanya ketika lawatan sehari turun padang hari ini.

Kemudian dalam isu sama kata beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah meminta cadangan balas mengenai kaedah lain untuk pembebasan air kolam renang itu tanpa menjejaskan keselamatan penduduk sekitar.

“Saya minta cadangan disediakan bagaimana hendak membebaskan air kolam itu melalui longkang lain tidak menerusi saluran air yang akan memberi kesan buruk kepada kediaman di bawah.

“Saya juga melihat sendiri di lokasi ia juga menjejaskan longkang deretan perumahan berhampiran.

“Maka saya arahkan MPAJ memeriksa segera sistem perparitan jikalau terdapat sebarang kebocoran supaya tindakan pembaikan boleh dilaksanakan demi keselamatan dan keselesaan penduduk setempat,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau juga mencari solusi untuk satu lagi tempat perniagaan medan selera di sebuah tapak sementara di tepi jalan utama yang dikatakan mengganggu aliran kenderaan sehingga menyebabkan kesesakan.

Menurut Zuraida, tindakan pengunjung yang meletakkan kereta di tepi jalan berkenaan mengganggu pengguna laluan tersebut saban hari.

“Medan selera tepi jalan itu diberikan lesen sementara tempoh setahun namun tamat tempoh Disember 2019 dan disebabkan covid ia tak dapat dilanjutkan.

“Kini pemilik tapak medan selera berkenaan beroperasi tanpa lesen baharu,jadi kita minta pemilik memohon lesen sementara yang baharu.

“Kita tiada halangan mereka berniaga tetapi tidak boleh mengganggu lalu lintas dan saya telan mengambil jalan tengah tanpa menjejaskan pendapatan peniaga dengan meminta operasi bengkel cuci kereta di tepi medan selera itu ditutup serta-merta.

“Tapak cuci kereta itu akan diubah menjadi tempat parkir kenderaan yang datang ke medan selera itu dan akan dikawal oleh anggota sukarelawan selepas itu,” ujarnya.

Zuraida turut melawat taman rekreasi di Taman Bukit Mulia bagi untuk meneliti cadangan pembinaan gelanggang futsal mini.

Menurutnya, Bahagian Kejuruteraan MPAJ telah diminta supaya menyediakan pelan reka bentuk sesuai bagi tujuan tersebut yang dijangkakan diterima dalam tempoh sebulan lagi sebelum tindakan susulan seperti pelaksanaan serta kos diambil kira.-MalaysiaGazette