PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis sudah mengenal pasti identiti pemilik akaun Twitter yang mendakwa hakim kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd membabitkan Datuk Seri Najib Razak, kononnya ada pertalian persaudaraan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman DCP Mior Faridalathrash Wahid berkata individu itu akan dipanggil minggu depan bagi memberi keterangan berhubung dakwaan tersebut.

“Kita sudah mengenal pasti identiti pemilik akaun Twitter itu dan akan panggil minggu depan untuk rakam percakapan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata siasatan dijalankan selepas satu laporan polis diterima di Taiping, Perak semalam dan pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung kes itu mengikut Akta Hasutan 1948 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Semalam, media melaporkan bahawa seorang ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Mohd Afzanizam Abdul Rahman membuat laporan polis di Taiping berhubung satu ciapan oleh Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin Malaysia Ramesh Rao di akaun Twitter.

Pada Selasa lepas, Ramesh mendakwa Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang mensabitkan Najib dengan tujuh kesalahan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram adalah cucu saudara Mahathir.

Menerusi akaun Twitter, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga anak Ahli Parlimen Langkawi itu menafikan dakwaan tersebut dan menganggap ia sebagai tidak berasas serta meminta Peguam Negara menyiasat tohmahan berkenaan.

Dalam perkembangan lain, polis akan menghantar kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara berhubung siasatan terhadap warga Bangladesh, Md Rayhan Kabir yang terbabit dengan penyiaran dokumentari terbitan Al Jazeera yang disyaki berniat memburukkan Malaysia.

Mior Faridalathrash berkata tindakan selanjutnya akan ditentukan Pejabat Peguam Negara selepas polis mengambil keterangan Md Rayhan sejak 28 Julai lepas.

“Proses keterangan daripada lelaki itu sudah selesai dan kertas siasatan akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara minggu depan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Md Rayhan ditahan di Setapak, Kuala Lumpur pada 24 Julai selepas Jabatan Imigresen memohon bantuan orang awam menjejaki individu itu yang muncul dalam dokumentari Al Jazeera.

Menerusi dokumentari itu, Md Rayhan membuat kenyataan mengenai layanan pihak berkuasa Malaysia kepada pendatang tanpa izin ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan pandemik COVID-19.

Pada 25 Julai, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud dilaporkan berkata lelaki itu akan diusir keluar dan disenarai hitam daripada memasuki Malaysia untuk selama-lamanya.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. Hukuman berat patut dikenekan kpd mereka yg membuat dakwaan palsu dan mencemarkan imej kehakiman.

  2. Cubaan memburukkan TUN akn terus dimainkan oleh orng yg berkepentingan… Harap pihak polis terus mencari dan mendakwa individu tersebut… Jgn biarkan fitnah bermaharajalela.

Comments are closed.