Pengunjung tidak melepaskan peluang untuk menikmati panorama matahari terbenam di persisiran pantai ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pantai Cenang, Langkawi. foto SYAFIQ AMBAK, 10 JANUARI 2019

Oleh Mohd Zaini Othman

BANYAK pihak yang ‘tercedera’ apabila musibah Covid-19 melanda dunia dan negara kita dan salah-satu darinya adalah industri pelancongan. Sebelum pandemik Covid-19 mula membadai dunia, industri pelancongan dunia berkembang pesat dengan dapat dilihat pelbagai pakej pelancongan menarik ditawarkan selain tiket-tiket penerbangan ke negara yang mempunyai destinasi pelancongan popular ibarat pisang panas terjual, sentiasa menjadi rebutan malah ada yang terjual setahun awal.

Ibarat satu trend masyarakat kita juga untuk bercuti ke luar negara kerana melancong kini bukan lagi satu yang eksklusif kepada golongan yang berada sahaja. Berdasarkan pengalaman penulis sendiri melalui sedikit usaha dan rajin membuat ‘survey’ dan bacaan di internet, percutian bajet ke luar negara boleh direalisasikan. Tetapi apabila Covid-19 semakin serius, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terpaksa dilaksanakan, pintu sempadan ditutup, aktiviti ekonomi dan sosial dilarang kecuali bagi perkhidmatan penting. Ketika inilah kita melihat industri pelancongan negara ‘sakit teruk’ kerana pemilik-pemilik pusat pelancongan tidak dapat menjalankan perniagaan, tempahan dari pelanggan dibatalkan, hotel besar mahupun kecil sepi tanpa pelancong malah ada yang terpaksa angkat bendera putih dan gulung tikar akibat himpitan kos operasi yang tinggi.

Industri pelancongan negara mula dilihat bernafas kembali apabila kerajaan mula beralih kepada PKP Pemulihan bermula 10 Jun lalu yang menyaksikan lebih banyak kelonggaran diberikan untuk rakyat Malaysia melakukan aktiviti di luar rumah selain sektor ekonomi dibuka sepenuhnya. Setelah lama terkurung kerana PKP dan PKP Bersyarat, pastinya bercuti ke tempat tarikan pelancong adalah antara aktiviti utama yang dipilih oleh rakyat kita. Disebabkan pintu sempadan masih di tutup, pilihan yang ada untuk rakyat Malaysia adalah melancong di dalam negara sahaja dan bagi penulis, negara kita mempunyai banyak lokasi pelancongan menarik yang belum kita terokai keindahan dan keistimewaannya.

Melancong di dalam negara juga sebenarnya turut membantu untuk menghidupkan kembali industri pelancongan negara yang terjejas teruk kerana ia adalah antara penyumbang utama kepada pendapatan Malaysia iaitu kira-kira 15.3% dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Sebelum PKP dilaksanakan pada Mac, sehingga Februari 2020 sahaja negara sudah mencatatkan kerugian sebanyak RM3.37 bilion akibat pembatalan pakej-pakej pelancongan  apabila Covid-19 mula tersebar pada Disember 2019. Bayangkan berapa banyak kerugian yang ditanggung negara dari Mac sehingga Jun pula?

Atas sebab itu, pemain industri pelancongan menghela nafas lega dan ibarat mati hidup semula setelah melihat sambutan yang baik dari rakyat Malaysia yang bersedia beralih kepada pelancongan domestik pasca PKP Pemulihan. Tindakan pantas Kerajaan yang memperkenalkan pelbagai inisiatif melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dilihat turut memberi nyawa tambahan untuk industri pelancongan negara untuk kekal berdaya dan terus bertahan.

Tetapi ketika semua rakyat Malaysia teruja untuk melancong ke pelbagai lokasi di dalam negara, jangan pula kita terleka dan alpa bahawa Covid-19 masih ada dan kita masih terdedah untuk dijangkiti dan seterusnya menjangkiti pihak lain pula. Seperti kita sedia maklum, kita kini berada dalam fasa PKP Pemulihan kerana negara telah menunjukkan beberapa petunjuk positif ke arah pemulihan dari penularan Covid-19. Hakikatnya kita masih lagi berjuang melawan Covid-19, masih belum menang mahupun dianggap sembuh dari ‘kecederaan’ angkara wabak ini. Cuma yang memberi kekuatan untuk kita terus bertahan dan melawan pandemik ini seperti penulis katakan tadi kerana kita ada tanda-tanda untuk pulih.

Tetapi tanda-tanda untuk pulih tidak menjamin kita akan pulih kerana sudah timbul kegusaran kepada Kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia apabila berlaku semula peningkatan kes jangkitan dan pertambahan kluster baharu ketika ini. Datuk Dr Noor Hisham menyatakan kebimbangan Malaysia mungkin berdepan peningkatan mendadak kes baharu COVID-19 dalam tempoh terdekat jika kadar kebolehjangkitan atau R-naught (R0) naik melebihi bacaan 1.6. Menurutnya kadar R0 telah naik kepada 1.36 berbanding 0.3 ketika pelaksanaan PKP Bersyarat yang berakhir 9 Jun lepas. Kerajaan juga sudah memberi amaran awal bahawa PKP akan dilaksanakan semula sekiranya kes jangkitan Covid-19 mencecah tiga angka.

Punca peningkatan ini mudah sahaja ada yang pentingkan diri, tidak mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh Kerajaan dan KKM. Contoh mudah beberapa kes individu yang pulang dari luar negara tidak mematuhi tempoh kuarantin di kediaman selama 14 hari. Amalan memakai topeng muka, menjaga penjarakan sosial dan kebersihan diri semasa berada di tempat awam juga telah mula diabaikan.

Sekiranya PKP dilaksanakan semula, industri pelancongan negara bukan lagi akan kembali ke situasi sakit teruk, tetapi bertukar ke tahap nazak! Ahli ekonomi telah memberi amaran bahawa impak negatif lebih besar dan berganda kepada ekonomi negara akan berlaku kerana lebih banyak perniagaan akan gulung tikar dan ramai kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan.

— Mohd Zaini Othman, Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik USIM serta Exco Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRAGMATIS) USIM. Penulisan ini adalah merupakan pandangan peribadi penulis