GENEVA – Seorang bekas pegawai bank Coutts & Co. didapati bersalah kerana gagal memaklumkan kebimbangan beliau terhadap aktiviti penggubahan wang haram bernilai AS$700 juta (RM2.968 bilion) yang dipindahkan ke dalam sebuah akaun yang dikawal oleh Low Taek Jho yang turut dikenali sebagai Jho Low.

Lelaki berkenaan yang hanya dinamakan sebagai A didenda sebanyak AS$55,000 (RM2.33 juta) oleh Mahkamah Jenayah Persekutuan Swiss pada Jumaat.

“Terdapat banyak petunjuk yang menunjukkan berlakunya penggubahan wang haram sejak sekian lama.

“Meskipun menyedari ada sesuatu perkara yang tidak kena, A tidak membuat sebarang makluman kepada pegawai-pegawai regulatori sehinggalah beliau meninggalkan bank berkenaan,” kata kenyataan mahkamah.

Menurut mahkamah, Jho Low menubuhkan sebuah syarikat yang berdaftar di Seychelles, Good Star pada Mei 2009 dan telah membuka sebuah akaun di cawangan Coutts di Singapura kurang sebulan daripada itu.

Pada September tahun berkenaan, Jho Low telah meminta supaya semua komunikasi dengan Coutts di Singapura diputuskan dan hanya menerima maklumat terkini daripada anak syarikat Coutts Switzerland melalui emel di alamat [email protected].

Meskipun permintaan tersebut bukanlah amalan biasa, A tetap meluluskan permohonan Jho Low untuk memindahkan AS$700 juta daripada 1MDB ke dalam akaun yang dimiliki oleh Good Star.

Dalam satu emel bertarikh 2 Oktober 2009, A menulis “susulan penilaian rapi yang baik setakat ini serta bukti-bukti yang mencukupi, maka pembayaran tersebut adalah benar dan sah.”

Peguam A, Monika Roth tidak memberi sebarang komen berhubung keputusan tersebut.

Coutts & Co. kini dijual oleh Royal Bank of Scotland pada 2016 kepada Union Bancaire Privee.

Ia telah didenda sebanyak AS$6.5 juta pada 2017 kerana membenarkan aset-aset bernilai AS$2.4 bilion yang mempunyai kaitan dengan 1MDB dipindahkan ke akaun-akaunnya.

Skandal 1MDB yang berusia sedekad itu dan menyebabkan kejatuhan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kembali menjadi berita muka depan minggu lepas apabila beliau didapati bersalah menyalahgunakan kuasa dan melakukan penggubahan wang haram. – Bloomberg