Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Sebanyak sembilan kes baharu Covid-19 direkodkan untuk temph 24 jam sehingga pukul 12 tengahari ini manakala tiga kes pulih dilaporkan untuk tempoh tersebut.

Berikutan itu jumlah kes aktif meningkat kepada 213 kes dan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya daripada Covid-19 adalah sebanyak 8,647 kes atau 96.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Susulan daripada kes baharu itu, jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,985 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada sembilan kes baharu itu, tujuh kes membabitkan kes import dari luar negara manakala penularan di dalam negara melibatkan hanya seorang warga tempatan.

“Tujuh kes import itu adalah dua kes di Selangor yang pulang dari India, satu kes diSelangor yang pulang dari Emiriah Arab Bersatu, satu kes Selangor juga yang pulang dari Jepun, satu kes Selangor yang pulang dari Switzerland dan dua kes di Perak yang masing-masing pulang dari Filipina dan Pakistan,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Menurut Noor Hisham, daripada dua kes penularan yang direkodkan di dalam negara, satu kes adalah warganegara Malaysia dan satu lagi kes bukan warganegara.

Tambah beliau, satu kes warganegara di dalam negara adalah dilaporkan di negeri Kedah iaitu daripada kluster Individu Bawah Siasatan (PUI) Sivagangga.

“Bagi kes jangkitan dalam negara dalam kalangan bukan warganegara pula adalah di negeri Selangor yang mana kes tersebut adalah daripada Kluster Bukit Tiram.

“Sehingga kini, terdapat dua kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), yang mana satu kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Manakala pada hari ini tiada pertambahan kes kematian baharu sekaligus menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia adalah kekal sebanyak 125 kes (1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” katanya. – MalaysiaGazette