Ketua Bahagian Bandar Tun Razak merangkap Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Parlimen Bandar Tun Razak, Mohd Shahni Ismail beramah mesra bersama penduduk setempat ketika di Program Ibadah Korban Perdana Bersatu Bantura sempena Hari Raya Aidiladha di kawasan lapang Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur. foto MOHD ADZLAN, 1 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Walaupun perancangan awal hanya mahu mengorbankan tiga ekor lembu, namun tiada siapa tahu rezeki tambahan yang akan diperolehi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bahagian Bandar Tun Razak yang di terajui oleh Mohd Shahni Ismail.

Sumbangan tiga ekor lembu oleh Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin serta Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamaruddin Jaafar menyaksikan enam ekor lembu dikorbankan pada hari ini.

Daging lembu seberat 600 kilogram dapat diagihkan untuk sekurang-kurangnya 550 keluarga di sekitar Bandar Tun Razak terutamanya golongan memerlukan selain kumpulan barisan hadapan memerangi penularan Covid-19.

Menyingkap kisah ibadah korban, kata Mohd Shahni berkata, amalan ini sememangnya sangat dituntut dalam Islam yang bertujuan mendekatkan diri pada Allah bermula pada hari Aidiladha iaitu 10 Zulhijah dan tiga hari tasyrik iaitu pada 11, 12 dan 13 Zulhijah.

“Upacara korban juga sempena mengingati peristiwa Nabi Ibrahim yang ingin menyembelih anaknya, Nabi Ismail, kerana melaksanakan perintah Allah. Bagaimanapun, peristiwa itu sekadar ujian Allah kepada mereka berdua.

“Ia tidak hanya memupuk semangat pengorbanan dalam diri, bahkan juga hubungan sesama insan dalam masyarakat. Ibadat korban ini juga peluang baik untuk kita berkongsi nikmat dengan orang lain.

“Sememangnya kita, Bersatu Bandar Tun Razak ambil peluang ini untuk bukan sahaja melakukan ibadah korban sebaliknya juga menyumbang kepada semua terutamanya yang sangat memerlukan.

Ketua Bahagian Bandar Tun Razak merangkap Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Parlimen Bandar Tun Razak, Mohd Shahni Ismail bersama Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamaruddin Jaafar mengagihkan daging korban kepada penduduk setempat ketika di Program Ibadah Korban Perdana Bersatu Bantura sempena Hari Raya Aidiladha di kawasan lapang Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur. foto MOHD ADZLAN, 1 OGOS 2020.

“Siapa menyangka pandemik Covid-19 akan melanda bukan sahaja negara kita, sebaliknya seluruh dunia sehingga meragut ratusan ribu nyawa, jutaan kes positif secara global.

“Namun kita berjaya mengekang penularan ini secara besar-besaran dan Alhamdulilah di sini kita dapat meraikan Aidiladha dan ibadah korban. Jika anda lihat hari ini, ibadah qurban perdana Bersatu 1441 Hijrah meriah.

“Dari 3 ekor pada asalnya, ramai juga tampil menyumbang supaya ramai di luar sana dapat manfaatnya. Syukur, meriah sekali sejak tadi.

“Dengan korbankan enam ekor lembu hari ini, dagingnya selain dimasak turut diagihkan kepada rumah kebajikan, NGO, barisan hadapan, fakir miskin dan orang awam,” katanya ketika ditemui di Jalan Tasik Selatan hari ini..

Antara yang menghadiri program qurban Bersatu Bandar Tun Razak Duta Korea Utara (Charge d’ Affaires), Kim Yu Song; Yang di Pertua Pas Bandar Tun Razak, Md Shukor Aziz dan Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar.

Aidiladha tahun ini disambut di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berikutan penularan wabak Covid-19.

Kata Mohd Shani, walaupun pihaknya melaksanakan program korban ini secara besar-besaran namun garis panduan serta prosedur operasi standard (SOP Covid-19) tetap dipatuhi sepanjang masa.

“Kita pastikan semua patuh terutamanya dalam pemakaian pelitup muka, cecair pembasmi kuman (sanitizer) dan paling penting penjarakkan sosial atau fizikal.

“Dari masa ke semasa, kita ingatkan semua yang ada ini untuk patuhinya. Janganlah kita terlalu seronok sehingga lupa perkara penting seperti ini,” ujarnya. –MalaysiaGazette