Tujuh PATI Indonesia yang cuba menyusup keluar ke Indonesia menggunakan laluan pantai secara haram brjaya dicekup tentera pagi tadi

KUALA LUMPUR – Usaha tujuh Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Indonesia, termasuk seorang wanita mengandung, yang cuba menyusup keluar dari perairan negara untuk balik ke negara asal tidak kesampaian apabila mereka dicekup anggota tentera darat.

Kejadian berlaku di Ladang Sungai Tengah, Bandar Penawar kira-kira pukul 4 pagi dalam Op Benteng yang dilakukan Pasukan Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (1 RRD)

“Anggota Pos Pemerhati, Kompeni Alpha 1 RRD, telah mengesan bunyi bot dan melihat isyarat kelipan lampu sebanyak dua kali dari arah bot ke pantai.

“Selang beberapa minit kelihatan kelibat pergerakan orang keluar dari arah hutan menuju ke bot yang berada 100 meter dari pantai di Ladang Sungai Tengah ,Bandar Penawar, Johor,” kata markas tersebut dalam satu kenyataan hari ini.

 

Dua wanita termasuk seorang sarat mengandungb tujuh bulan antara tujuh PATI Indonesia ditangkap tentera Malaysia ketika cuba menyusup keluar ke Indonesia awal pagi ini.

Menurut kenyataan itu, Ketua Kompeni, Mejar Mohd Hafizullah bin Mohd Rashidi menghantar Tim Quick Reaction Force (QRF) ke Kampung Gambut, Punggai sebelum berjaya menangkap kesemua tujuh PATI yang dipercayai ingin menyusup keluar dari Malaysia.

“Kesemua PATI yang ditangkap berusia di antara 20 hingga 53 tahun melibatkan 5 lelaki dan 2 wanita termasuk seorang wanita yang sedang sarat hamil dengan usia kandungan 7 bulan.

“Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM15,512.50 melibatkan 15 buah telefon pintar pelbagai jenama dan wang tunai RM 6,933.50 serta wang tunai IR 6.9 Juta Rupiah (RM2,002).

“Kesemua PATI diserahkan ke Balai Polis Bayu Damai untuk tindakan lanjut sebelum menjalani ujian Covid-19,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast