Foto hiasan

PULAU PINANG – Pada ketika ramai orang termasuk kanak-kanak mengalami kenaikan berat badan pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kuda juga dilaporkan mengalami masalah yang sama.

Kwong Wah Yit Poh melaporkan, disebabkan kerajaan melarang lumba kuda pada tempoh PKP dan kegiatan itu hanya dipulihkan pada 19 Julai, latihan untuk kuda-kuda menjadi lebih terhad.

Seorang pelatih kuda yang berasal dari New Zealand memberitahu akhbar itu, latihan telah dikurangkan pada tempoh PKP dan latihan yang menyasarkan pertandingan juga tidak diadakan, menyebabkan berat badan kuda meningkat.

“Dalam keadaan biasa, setiap kuda perlu menjalani latihan 30 minit sehari, tetapi masa itu telah dikurangkan kepada 10 hingga 15 minit dalam tempoh PKP.

“Enam ekor kuda menjalani latihan secara serentak di tempat sama untuk mengurangkan masa yang digunakan,” katanya.

Menurutnya, pertandingan telah disambung semula, tetapi perlu mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Antaranya, joki dikehendaki memakai pelitup mulut sebelum dan selepas pertandingan. – MalaysiaGazette