Ujian saringan dijalankan ke atas penduduk Danang yang menjadi lokasi penularan novel koronavirus. foto Agensi

HANOI – Vietnam akan melakukan ujian saringan ke atas 1.1 juta penduduk Danang yang kini menjadi pusat penularan wabak koronavirus, menurut akhbar Tuoi Tre.

Ujian saringan itu dilakukan susulan kenaikan kes jangkitan di kawasan tersebut.

Terdapat dua lagi kes yang dikaitkan dengan Danang, kata Kementerian Kesihatan dengan dua lagi kes import.

Lebih 800,000 penduduk telah mengembara ke bandar tersebut sejak 1 Julai lalu dan kembali ke wilayah dan bandar masing-masing, menurut data kerajaan manakala kira-kira 41,000 orang telah berkunjung ke tiga hospital yang menjadi punca kepada jangkitan.

Ho Chi Minh yang menjadi hab kewangan pula merekodkan tiga kes baharu selepas ujian saringan dijalankan ke atas 21,000 orang daripada 32,000 populasinya yang telah berkunjung ke Danang pada bulan lalu.

Hanoi pula telah melakukan 50,000 ujian saringan kepada individu yang pulang dari Danang setakat semalam.

Kerajaan Vietnam menganggarkan sejumlah 72,275 individu telah ke Danang sejak 8 Julai lalu.

Vietnam merekodkan 174 kes jangkitan baharu, dengan kebanyakan pesakit dari Danang sejak 25 Julai lalu selepas kes jangkitan tempatan kali pertama disahkan setelah lebih tiga bulan. – MalaysiaGazette