Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (kanan) dan Lim Guan Eng (ddua dari kiri) pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 19 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Sidang Dewan Rakyat hari ini menyaksikan dua rakan politik yang pernah bersama dalam Pakatan Harapan (PH) ‘berperang mulut’ ketika sesi jawapan lisan.

Ahli Parlimen (Bagan-PH), Lim Guan Eng mendesak Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali supaya mengemukakan fakta yang tepat berhubung status ratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Guan Eng yang bingkas mencelah ketika Azmin berucap berhubung perkara itu menyatakan beliau mahu merujuk jawapan yang diberikan oleh Azmin secara tepat sebagaimana kenyataan yang pernah diberikan olehnya sebelum ini.

Beliau mempertikaikan jawapan yang diberikan oleh Azmin itu kerana Kabinet ketika ditadbir PH tidak bersetuju dengan ratifikasi tersebut kerana tidak mahu campurtangan dari negara luar ke dalam urusan perniagaan dan perdagangan di negara ini.

Beliau mendakwa, jawapan yang dikemukakan oleh Azmin sebagai tidak benar dan meminta agar fakta itu diperbetulkan.

Bagaimanapun, Azmin kemudian menjawab bahawa Guan Eng yang ketika itu merupakan anggota Kabinet pada 5 September 2018 bersetuju untuk meratifikasi perjanjian tersebut.

Jawapan yang diberikan Azmin itu telah menyebabkan Guan Eng bingkas sekali lagi dengan meminta Azmin supaya menyemak semula fakta yang diberikan olehnya.

Beliau meminta supaya Azmin menyemak fakta pada 2019 dan 2020 atau merujuk perkara itu kepada bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking.

Tegas Guan Eng, Darell pernah membawa perkara itu Kabinet namun, ia tidak dipersetujui.

Guan Eng meminta agar Azmin tidak memutar belit fakta tersebut dengan menyatakan perkara tidak benar di dalam dewan.

Azmin kemudiannya menyatakan bahawa beliau tidak berpolitik dalam isu berkenaan dan meminta agar Guan Eng menyertai perbahasan dengan kementerian itu.

Ketika PH mentadbir negara sebelum diambil alih oleh Perikatan Nasional, Guan Eng merupakan Menteri Kewangan sementara Azmin adalah Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Kedua-dua mereka kemudiannya beralih haluan selepas Perdana Menteri ketika itu (Tun Dr Mahathir Mohamad) mengambil keputusan untuk melepaskan jawatannya menyebabkan Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan untuk melantik Perdana Menteri yang baharu, sekaligus menyebabkan kerajaan bertukar. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.