Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto MOHD ADZLAN

PUTRAJAYA – Sebanyak dua kes positif Covid-19 direkodkan untuk tempoh 24 jam sehingga pukul 12 tengahari manakala empat kes yang telah pulih Covid-19 untuk tempoh tersebut.

Berikutan itu, jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah sebanyak 8,668 kesĀ  atau 96.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham berkata, kedua-dua kes itu adalah penularan di dalam negara melibatkan warga tempatan.

“Dua kes baharu yang direkodkan sehingga 12 tengahari ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 9,001 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 208 kes yang mana mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

“Ingin dimaklumkan bahawa kedua-dua kes baharu yang dilaporkan adalah kes penularan di dalam negara yang melibatkan warganegara Malaysia dan tiada kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara yang dilaporkan pada hari ini.

“Kes pertama telah direkodkan di Kedah iaitu daripada Kluster Individu Dalam Siasatan (PUI) Sivagangga.

“Kes kedua adalah di Wilayah Persekutuan Labuan membabitkan satu kes saringan rawak di lapangan berkaitan pelajar Kolej dan beliau tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Labuan,” katanya dalam sidang media di Kementerian Kesihatan Malaysia hari ini.

Katanya, sehingga kini terdapat satu kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau turut memaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 125 kes (1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” kata beliau. – MalaysiaGazette