Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang dalam proses untuk memuktamadkan jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi laluan Mentakab-Pelabuhan Klang.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, jajaran mengenai projek itu telah dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu jajaran Kota Bharu- Dungun (seksyen A); jajaran Dungun-Mentakab (seksyen B) dan jajaran Mentakab-Pelabuhan Klang (seksyen C).

“Bagi seksyen C, kerajaan sedang dalam proses untuk memuktamadkan stesen dan laluan sepanjang jajaran ini.

“Proses ini perlu dijalankan untuk kerajaan mengambil kira beberapa faktor seperti daya maju projek, kesalinghubungan rel dan implikasi kewangan sebelum kelulusan diberikan bagi jajaran ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Ka Siong menjawab pertanyaan Datuk Ahli Parlimen (Jelebu-BN), Jalaluddin Alias mengenai perubahan yang akan berlaku terhadap jajaran ECRL seperti yang telah diumumkan oleh kerajaan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan terdahulu.

“Kita dalam peringkat memuktamadkan (ECRL). Kita kena buat perbandingan antara dua jajaran. Ada kekangan dan juga perkara-perkara teknikal yang patut kita atasi,” ujarnya.

Ka Siong berkata pada 11 Jun lalu, Majlis Perancang Fizikal Negara telah mengadakan mesyuarat yang turut dihadiri oleh beberapa menteri besar untuk membincangkan jajaran projek ECRL.

“Keputusan yang dibuat oleh Majlis Perancang Fizikal Negara ialah rujuk semula kepada Kementerian Pengangkutan dan juga kepada Ketua Setiausaha Negara untuk membuat penyelarasan.

“Sudah dua kali Kementerian Pengangkutan berbincang dengan kerajaan negeri, termasuk minggu ini kita akan berjumpa dengan pihak kerajaan negeri Selangor untuk meneliti pilihan yang menguntungkan rakyat negeri Selangor,” ujarnya. – MalaysiaGazette