KUALA LUMPUR – Kerajaan tetap menghormati keputusan kerajaan terdahulu untuk mengubah kaedah pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pada awalnya penamatan Rakan Pelaksana Projek (PDP) dijangka memberi penjimatan kepada kerajaan khususnya tiada keperluan pembayaran yuran PDP.
Bagaimanapun beliau berkata, perubahan model pelaksanaan
tersebut tidak mengambil kira perkara-perkara yang antara lain adalah kesan ke atas pentadbiran projek, perubahan kontrak, kebajikan kakitangan-kakitangan yang terlibat dan keperluan penambahbaikan kapasiti serta kepakaran teknikal sedia ada.
“Berikutan itu mitigation plan (pelan mitigasi) dan tindakan susulan berterusan sedang dilaksanakan bagi menambah baik kaedah pelaksanaan yang telah diputuskan sebelum ini bagi
memastikan kelancaran dan kelangsungan Projek Lebuhraya
Pan Borneo sebagai pemangkin pembangunan sektor sosioekonomi, perindustrian serta pelaburan di sepanjang jajaran projek tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan titah diraja di Dewan Rakyat hari ini.
Fadillah berkata, status kemajuan fasa satu Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah sehingga Jun 2020 adalah 32 peratus bagi 11 pakej kerja yang sedang dilaksanakan.
Manakala katanya, tiga pakej kerja baharu dan satu pakej kerja
melibatkan laluan dari Tawau ke Semporna yang telah ditamatkan kontrak kini sedang ditender dan dijangka dimuktamadkan tahun ini.
“Ini menjadikan keseluruhan 15 pakej kerja komited akan diteruskan pelaksanaannya pada RMK ke-11 dengan kos dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Persekutuan.
“Pelaksanaan baki 20 pakej kerja Fasa 1 Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah pula adalah tertakluk kepada kemampuan kewangan semasa Kerajaan untuk RMKe-12,” ujarnya.
Tambah beliau, bagi Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak Fasa satu pula, sehingga 31 Julai 2020, dua daripada 11 pakej kerja Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak iaitu pakej satu dari Telok
Melano ke Sematan yang dibuka pada Januari 2019 dan pakej Kick Off Project (KOP) dari Persimpangan Nyabau ke Bakun sepanjang 43 kilometer yang disiapkan pada Disember 2019.
“Manakala status kemajuan pembinaan sehingga Jun 2020 bagi pakej kerja yang lain yang kini sedang giat dilaksanakan dengan kemajuan keseluruhan sebanyak 52 peratus,” katanya. – MalaysiaGazette