Datuk Seri Fadillah Yusof. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 03 JULAI 2020

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan terburu-buru membuat keputusan terhadap cadangan untuk memansuhkan kutipan tol.

Ini kerana keputusan mengenai perkara itu memerlukan kajian lanjut yang terperinci, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata, cadangan itu membabitkan kepentingan pelbagai pihak termasuk pemegang konsesi.

Pada masa sama katanya, kerajaan mempunyai keutamaan lain daripada segi keperluan kewangan yang perlu ditangani akibat pandemik Covid-19.

“Kerajaan teliti ambil kira dengan mendalam faktor implikasi akan timbul jika penghapusan tol dilakukan khususnya kewangan semasa yang dihadapi oleh kerajaan ketika ini.

“Sehubungan dengan itu, hala tuju lebuh raya bertol akan disemak semula dan memorandum Jemaah Menteri akan dibentangkan bagi mendapatkan kelulusan menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong berkaitan kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Fadilah memberitahu, kementeriannya sedang melaksanakan kajian pembinaan lebuh raya alternatif di antara Gombak ke Bentong bagi menyelesaikan kesesakan lalu lintas di Lebuhraya Kuala Lumpur Karak (KLK).

“Untuk tentukan jajaran baharu atau naik taraf jalan sedia ada diperlukan. Kita ambil kira pelaksanaan candangan projek termasuk impaknya terhadap alam sekitar dan sosial yang boleh mendatangkan manfaat kepada rakyat,” tambah beliau. – MalaysiaGazette