Mohd. Shahman Mohd. Yusoff merupakan pemilik Restoran Man Ayam.

KUALA LUMPUR – Restoran Man Ayam Kampung merancang membuka lapan lagi cawangan baharu sehingga akhir tahun ini.

Pemilik restoran itu, Mohd. Shahman Mohd. Yusoff berkata, pertambahan jumlah itu akan menyaksikan pihaknya bakal memiliki 10 restoran secara keseluruhannya.

Ketika ini, Restoran Man Ayam Kampung beroperasi di Serdang Raya dan Seri Kembangan sejak dua tahun lalu dan menjadi tumpuan pelanggan menjamu selera pada waktu tengahari.

“Kami yakin sasaran cawangan ini mampu dicapai walaupun negara berdepan dengan kelembapan ekonomi gara-gara penularan Covid-19.

“Namun bagi kami, bisnes makanan masih penting kerana menjadi keperluan utama masyarakat sama ada datang menikmati menu di restoran atau membawa pulang,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini baru-baru ini.

Ayam kampung dara goreng menjadi menu istimewa di Restoran Man Ayam Kampung Seri Kembangan.
Ayam kampung dara goreng menjadi menu istimewa di Restoran Man Ayam Kampung.

Mohd. Shahman bagaimanapun mengakui rancangan tersebut masih bergantung kepada persekitaran ekonomi, selain faktor lokasi adalah kriteria utama yang diambil kira sebelum pembukaan cawangan baharu.

“Pembukaan cawangan baharu nanti amat menitikberatkan soal lokasi. Kami memilih lokasi yang sesuai termasuk dengan kepadatan penduduk.

“Namun lokasi masih lagi di sekitar Kuala Lumpur kerana mudah untuk diuruskan,” katanya.

Restoran Man Ayam Kampung sebelum ini menjadi pilihan warga kota kerana keenakan ayam kampung dara yang digoreng panas-panas dengan aroma yang menyelerakan.

Pada masa sama, restoran itu turut menyediakan bermacam-macam pilihan masakan kampung yang menyelerakan seperti gulai daging kawah, masak lemak siput sedut, sotong goreng gergasi dan sambal bilis kristal.

Sambal bilis itu menjadi tumpuan kerana rasanya yang tidak pedas namun sedikit manis serta kelihatan berkilat yang menjadi keistimewaannya.

Selain itu, turut disediakan 16 jenis ulam-ulaman seperti petai, daun selom, ulam raja pengga dan bendi bersama sambal belacan dan budi.

Restoran Man Ayam Kampung dibuka bermula pukul 11 pagi hingga 5 petang dan tutup pada hari Jumaat. –  MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast