Zahidi Zainul Abidin

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang giat menaik taraf alat pemancar di menara komunikasi sedia ada kepada perkhidmatan 3G dan 4G sebagai usaha memperluas perkhidmatan jalur lebar mudah alih di kawasan luar bandar.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, sehingga Jun tahun ini, sebanyak 2,360 menara komunikasi telah siap dibina dan 280 menara masih dalam peringkat pelaksanaan.

Manakala, sebanyak 5,348 alat pemancar komunikasi di menara
komunikasi sedia ada telah dinaik taraf kepada perkhidmatan 3G dan 4G, dan sebanyak 11 alat pemancar komunikasi masih dalam peringkat pelaksanaan, kata beliau.

“Bagi perkhidmatan jalur lebar talian tetap pula, pihak kerajaan mtelah melaksanakan projek Jalur Lebar Pinggir Bandar (SUBB) dan projek Jalur Lebar Luar Bandar (RBB) yang menyediakan kemudahan jalur lebar berkelajuan tinggi di kawasan pinggir
bandar dan luar bandar di seluruh negara.

“Sehingga bulan Jun 2020 sebanyak 639,676 sambungan telah tersedia, manakala sebanyak 34,781 sambungan masih dalam peringkat pelaksanaan yang dijangka siap secara berperingkat pada tahun 2020,” katanya pada sesi pertanyaan dan jawapan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Sabri Azit (Jerai-Pas) yang ingin tahu mengetahui langkah-langkah untuk mengatasi masalah status liputan internet di kawasan luar bandar yang masih lemah
sedangkan talian komunikasi tersebut amat diperlukan ketika negara berhadapan dengan wabak Covid-19.

Zahidi berkata, selain itu, bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan jalur lebar talian tetap pula, inisiatif penaiktarafan rangkaian berasaskan tembaga kepada rangkaian gentian optik yang melibatkan sebanyak 933,724 pelanggan sedia ada di seluruh negara sedang dilaksanakan dalam tempoh dua tahun ini.

Jumlah itu katanya, dijangka diselaraskan dari semasa ke semasa disebabkan oleh faktor peralihan langganan pelanggan. – MalaysiaGazette