Dr. Mohd Radzi Jidin

KUALA LUMPUR – Sebanyak 213 buah sekolah di Kuching, Sarawak ditutup sehingga 17 Ogos ini susulan pandemik Covid-19.

Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, ia membabitkan 87 buah sekolah di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuching, 99 sekolah (PPD Padawan) dan 27 sekolah di PPD Samarahan.

Katanya, disebabkan itu pembukaan semula sekolah yang diumumkan pada 3 Ogos ditangguhkan ke 17 Ogos 2020.

“Untuk maklumat ahli Yang Berhormat, selepas pengumuman pelaksanaan kawalan pergerakan antara bahagian di Sarawak, pada 29 Julai 2020, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dengan persetujuan KPM memutuskan untuk menangguh pembukaan semula 213 sekolah di Sarawak.

“Bagaimanapun, kelas bagi pra-sekolah, tingkatan lima dan tingkatan enam beroperasi seperti biasa di ketiga-tiga PPD berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahlin Parlimen (Kulai-PH), Teo Nie Ching yang ingin tahu sama ada KPM merancang untuk menutup sekolah di zon merah Covid-19 seperti di Kuching dan sekiranya tidak, sama ada pemakaian pelitup muka adalah diwajibkan.

Menurut Radzi lagi, bagi negeri Kedah pula, kerajaan negeri sudah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (Temco) di empat mukim iaitu Ah, Hosba, Binjal dan Padang Senai, bermula 2 Ogos lepas.

Berikutan itu katanya, JPBN Kedah dengan persetujuan KPM memutuskan untuk menutup empat sekolah di bawah PPD Kubang Pasu dan satu sekolah di bawah PPD Padang Terap bermula pada 2 Ogos sehingga 29 Ogos 2020.

“Berkaitan dengan (soalan) penutupan sekolah di Sabah, apa yang dilaksanakan di peringkat kerajaan negeri bersama KPM melalui Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) adalah case by case basis.

“Jika ada keperluan untuk menutup sekolah di kawasan itu, kami di KPM berdasarkan nasihat daripada profesional di KKM dan MKN serta kerajaaan negeri berbincang, kita bersedia (arah tutup),” ujarnyanya.

Sementara itu Mohd Radzi menjelaskan, berkaitan pelitup muka guna semula, dalam garis panduan pembukaan semula sekolah, KKM menggalakkan pemakaiannya namun, masih belum diwajibkan.

“Pada waktu ini pihak kami sedang berbincang dengan pelbagai pihak untuk melihat mengenai kebolehgunaan pelitup muka guna semula di sekolah. Sebarang makluman akan dimaklumkan kepada awam dalam masa terdekat jika ada,” ujarnya. – MalaysiaGazette