KUALA LUMPUR – Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) melancarkan kempen terbaharunya, ‘Simpan & Menang Lebih Kaw Kaw’ untuk mendorong para pelanggannya bagi menyimpan dan berpeluang untuk memenangi hadiah menarik.

Kempen untuk tahun kedua berturut-turut, kempen ini berlangsung selama setahun bermula 1 Ogos 2020 hingga 31 Julai 2021, menawarkan peluang kepada pelanggan untuk memenangi hadiah menarik termasuk hadiah utama wang tunai bernilai RM1,000,000.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata, kempen ini adalah kesinambungan daripada kempen pertama iaitu ‘Simpan & Menang Kaw Kaw’ yang telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada para pelanggan.

“Kempen ini sejajar dengan komitmen Bank Muamalat untuk memupuk tabiat menyimpan dalam kalangan masyarakat, di samping membolehkan pelanggan menikmati ganjaran menarik untuk memenuhi keperluan mereka terutama ketika ekonomi dijangka bertambah baik dari kesan pandemik COVID-19,” kata Khairul.

Khairul menambah, kempen sebelum ini berjaya menarik pelanggan sedia ada serta pelanggan baharu Bank Muamalat bakal menawarkan lebih banyak ganjaran berbanding dengan kempen sebelumnya.

Lebih daripada 900 hadiah menarik ditawarkan, termasuk hadiah utama iaitu wang tunai bernilai RM1,000,000, empat buah kereta premium popular (Honda CRV, Honda Civic dan Proton X70) untuk cabutan suku tahunan.

Selain itu, hadiah wang tunai juga ditawarkan untuk cabutan bulanan peringkat kebangsaan dan cabutan bulanan tempatan.

Untuk kempen kali ini, Bank Muamalat turut memperkenalkan cabutan hadiah wang tunai bulanan khas untuk kategori pesara yang berumur 55 tahun ke atas.

Kempen ‘Simpan & Menang Lebih Kaw Kaw’ ‘terbuka untuk semua pelanggan sedia ada dan baharu yang mempunyai akaun simpanan, akaun semasa dan akaun gaji di Bank Muamalat.

Pemegang akaun tersebut akan mendapat kelayakan secara automatik dengan menyimpan minimum RM100 dalam akaun Simpanan Bank Muamalat dan RM500 dalam akaun Semasa, sepanjang tempoh kempen berlangsung.- MalaysiaGazette