Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan kenyataan Lim Guan Eng bahawa 101 projek rundingan terus telah dibentangkan di Kabinet

KUALA LUMPUR- Keputusan Malaysia untuk meratifikasi Perjanjian Komprehesif dan Progresif Bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) tanpa menetapkan tempoh khusus untuk proses berkenaan dibuat oleh Pakatan Harapan.

Menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Azmin Ali, jawapan yang diberikan beliau semasa sesi penggulungan perbahasan Titah DiRaja itu adalah berdasarkan keputusan Jemaah Menteri pada 5 September 2018 iaitu ketika pentadbiran kerajaan PH.

Tegasnya, pentadbiran PH tidak pernah membuat keputusan untuk menolak CPTPP seperti yang didakwa oleh Lim Guan Eng.

“Celahan Yang Berhormat Lim Guan Eng ketika sesi penggulungan perbahasan Titah DiRaja yang mempersoalkan jawapan saya berkaitan pendirian Kerajaan mengenai Perjanjian Komprehensif dan Progresif Bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) adalah bersifat politik dan tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Artikel berkaitan: Azmin, Guan Eng ‘perang mulut’ kerana isu CPTPP

Tambah Azmin lagi, beberapa perbincangan susulan berkaitan CPTPP di peringkat Jemaah Menteri sepanjang tahun 2019 dan awal tahun 2020 adalah untuk menilai kesediaan Malaysia dalam melengkapkan proses domestik, khususnya dalam memuktamadkan pindaan undang-undang yang telah dikenalpasti ke arah meratifikasikan CPTPP.

Namun begitu, PH tidak pernah membuat keputusan untuk menolak CPTPP.

“Justeru, kenyataan yang dibuat oleh Yang Berhormat Lim Guan Eng adalah mengelirukan berniat jahat untuk memesongkan fakta sebenar.

“Ianya tidak wajar dikeluarkan oleh seorang yang memegang salah satu portfolio penting dalam Kabinet Pakatan Harapan pada ketika itu.

“Saya menyerahkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast