Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seramai 71,041 orang doktor perubatan yang berkhidmat di sektor awam dan swasta dengan nisbah seorang doktor boleh memberi khidmat kepada 454 penduduk dimiliki Malaysia setakat ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba yang memaklumkan perkara itu berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 73 peratus atau seramai 51,912 doktor perubatan berdaftar dan berkhidmat di bawah Kementerian Kesihatan (KKM).

“Nisbah ini adalah lebih baik berbanding nisbah satu kepada 500 (1:500),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen (Kuala Selangor-PH), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang ingin tahu mengenai bilangan doktor di bawah KKM dan nisbah doktor bagi setiap penduduk di negara ini.

Pada masa sama, Dzulkefly turut bertanya sama ada Malaysia merancang untuk menambah bilangan doktor selari dengan saranan nisbah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menyarankan satu doktor bagi setiap 500 penduduk.

Dr. Adham Baba

Mengulas lanjut, Adham berkata, sehingga 30 Jun lalu, seramai 11,059 doktor pergigian bekerja dalam sektor awam dan swasta bersamaan dengan nisbah seorang doktor bagi 2,963 penduduk dan daripada jumlah keseluruhan doktor pergigian itu, seramai 6,530 berkhidmat di bawah KKM.

Ujarnya, bagi ahli farmasi pula, seramai 19,341 individu bekerja dalam sektor awam dan swasta dengan nisbah satu bagi 1,694 penduduk dan daripada jumlah ini, seramai 11,616 ahli farmasi berdaftar dan berkhidmat di KKM. – MalaysiaGazette