Gambar hiasan

PETALING JAYA – Seorang pemegang saham syarikat bersama dua rakannya dicekup polis hari ini selepas didakwa terlibat dalam perbuatan kes pecah amanah jenayah berjumlah RM1.98 juta.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, suspek berjaya ditangkap pasukan Jenayah Daerah Petaling Jaya sekitar 8 pagi hari ini.

Kata beliau, siasatan polis mendapati mangsa adalah seorang pengarah syarikat berasaskan teknologi komputer.

“Siasatan polis mendapati suspek berusia 44 tahun itu telah melakukan penyelewengan wang dividen milik mangsa.

“Suspek telah mengeluarkan sekeping cek berjumlah RM1.98 juta di atas nama mangsa yang ditunaikan ke dalam akaun bersama antara mangsa dan suspek tanpa pengetahuan mangsa itu.

“Semakan suspek terhadap hasil penyata akaun bank mendapati terdapat empat transaksi pengeluaran wang berlaku melalui cek ke atas beberapa penama lain,” kata beliau dalam satu kenyataan media kejayaan tangkapan kes itu petang tadi.

Tambah Nik Ezanee, kes disiasat di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah jenayah dan Seksyen 424 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan wang hasil penipuan.

Dalam satu kejayaan kes lain, pasukan polis telah menyerbu sebuah premis yang berfungsi sebagai rumah urut di Kota Damansara, di sini semalam.

Hasil serbuan sekitar jam 7.30 malam itu berjaya membawa kepada penahanan empat tukang urut warga asing bersama seorang wanita tempatan disyaki penjaga premis tersebut.

“Dalam serbuan sama polis juga merampas sekeping nota catatan jadual kerja kesemua suspek tersebut.

“Justeru empat tukang urut warga asing berusia lingkungan 25 hingga 40 tahun itu ditahan dan direman selama 14 hari untuk siasatan di bawah Peraturan Imigresen 1963.

“Dalam pada itu wanita warga tempatan berusia 35 tahun itu juga direman sehari kerana menggaji warga asing yang tidak memiliki pas pekerjaan sah,” tegasnya.