KUALA LUMPUR – Cadangan penstrukturan semula Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam selewat-lewatnya penghujung tahun ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, penstrukturan semula itu yang membabitkan JKM negeri, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah serta institusi di bawah pengurusan JKM, bertujuan memperkasakan agensi di bawah kementeriannya.
Katanya, cadangan itu juga adalah bagi membantu mengurangkan beban tugas dan keperluan perjawatan.
“Justeru itu, KPWKM (Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat) komited berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada kumpulan sasaran selaras dengan perubahan sosial serta cabaran masyarakat dinamik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas lanjut, Rina berkata, pihaknya turut mengemukakan permohonan pemberian elaun khas kepada pegawai skim perkhidmatan setelah mengambil kira aspek beban tugas serta peranan pegawai terbabit dalam menjalankan tugas.
Ujarnya, antara jawatan tersebut adalah Pembantu Pembangunan Masyarakat, Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat dan Pegawai Pembangunan Masyarakat.
Sementara itu, menyentuh isu perlindungan dan pemulihan kanak-kanak, Rina berkata, pihaknya kini dalam proses menambah bilangan pelindung kanak-kanak bagi memastikan peningkatan keberkesanan dalam urusan kes sedemikian.
Jelas beliau, pihaknya turut menerima cadangan agar ditubuhkan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak menerusi beberapa siri mesyuarat dan bengkel. – MalaysiaGazette