KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia percaya mengurangkan perbezaan harga antara produk rokok sah dan rokok seludup dan kerjasama menyeluruh antara agensi penguatkuasaan undang-undang penting dalam usaha membanteras pasaran rokok gelap.

Ia merupakan dapatan kaji selidik yang dijalankan oleh British American Tobacco (Malaysia) Berhad (BAT Malaysia) bagi kempen Hentikan Pasaran Gelap.

Menurut BAT, majoriti besar rakyat Malaysia yang menjadi responden (88%) juga percaya pasaran gelap rokok menghalang pemulihan ekonomi Covid-19.

Tiga faktor utama yang menyebabkan pasaran gelap rokok berleluasa ialah rasuah (38%), cukai tinggi (27%) dan agensi penguatkuasaan undang-undang memiliki sumber terhad untuk menangani masalah tersebut (19%).

Malah, sembilan daripada 10 rakyat Malaysia (97%) mahu Kerajaan Malaysia mengambil tindakan segera terhadap pasaran gelap rokok, yang mengakibatkan berlaku ketirisan lebih RM5 bilion dari segi hasil cukai setiap tahun.

Lebih 2,000 golongan dewasa yang menyertai kaji selidik itu.

Jonathan Reed, Pengarah Urusan BAT Malaysia berkata, daripada kaji selidik dan maklum balas lain yang diterima, menunjukkan rakyat Malaysia sangat bimbang terhadap masalah rokok pasaran gelap dan bersedia menyokong tindakan segera kerajaan untuk membanteras sindiket jenayah yang beroperasi di belakangnya.

Sokongan ini berpunca daripada keinginan untuk melihat pemulihan ekonomi pasca Covid-19. – MalaysiaGazette