KUALA LUMPUR – Akademi Johor Darul Ta’zim (JDT) menerima anugerah Ahli Emas pertama bagi Piagam SupaRimau FAM atas usaha berterusan dalam membangunkan bola sepak akar umbi di negara ini.
Anugerah itu disampaikan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam semasa lawatan ke JDT.
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pasukan yang terkenal dengan jolokan Southern Tigers itu merupakan satu-satunya pasukan di negara ini yang menerima anugerah emas itu.
“Menyedari perlunya meningkatkan pembangunan bola sepak akar umbi di negara ini, Piagam SupaRimau FAM merupakan proses sistem akreditasi dan penilaian yang bertujuan meningkatkan standard semua akademi bola sepak dan kualiti program mereka.
“Bagi memperolehi keahlian dalam Piagam SupaRimau FAM, akademi bola sepak akan dinilai melalui lima kriteria utama, iaitu kepimpinan, perancangan, kemudahan, pertandingan dan pendidikan.
“Akademi JDT telah merangkumi kesemua aspek-aspek ini dengan jayanya sekaligus melayakkan mereka dianugerahkan dengan Ahli Emas Pertama PiagamRimau FAM,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Menurut Hamidin, FAM menghargai usaha berterusan Kelab Bola Sepak JDT dalam mempromosikan dan membangunkan pemain bola sepak di peringkat akar umbi.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor dan JDT kerana menjadi akademi pertama yang dianugerahkan keahlian emas,” ujarnya.
Akademi JDT adalah sebuah realisasi oleh Tunku Mahkota Johor untuk mewujudkan akademi terbaik di Malaysia bagi menghasilkan pemain berkualiti bertaraf antarabangsa.
Akademi ini diselia oleh Pengarah Teknikal, Alistair Edwards dengan bantuan Pengurus Pembangunan K. Sukumaran dan pasukan mereka.
Dari aspek perancangan, dengan visi dan misi jelas akademi JDT telah merencanakan rancangan yang luas dan terperinci untuk semua pemain-pemain muda mereka.
— MalaysiaGazette