Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz menyampaikan ucapan bersama Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin (kanan) pada program 'Townhall Selangor Youths Have A Say' di Sunway Hotel Resort & Spa, Bandar Sunway, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 05 OGOS 2020.

PETALING JAYA – Golongan belia akan menjadi elemen penting untuk diperkasakan dalam Bajet 2021, kata Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz.

Menteri Kewangan itu berkata, ia meliputi penyediaan dalam bidang pendidikan berkualiti tinggi dan peluang untuk mendapatkan pekerjaan yang memenuhi pasaran.

Jelas beliau, belia juga akan diberi akses kepada penjagaan kesihatan yang berkualiti dan makanan berkhasiat serta mendukung usaha keusahawanan golongan itu.

“Saya percaya bahawa apabila belia diberi kuasa, mereka dapat memanfaatkan kemajuan teknologi dan digitalisasi serta menghasilkan penyelesaian inovatif untuk menangani cabaran masyarakat serta mencapai matlamat pembangunan berterusan.

“Untuk itu, kerajaan memainkan peranan penting bagi golongan belia untuk merealisasikan potensi penuh mereka sebagaai pemimpin masa depan negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Town Hall Series mengenai Bajet 2021 anjuran Selangor Youth Community (SAY) di Sunway Resort Hotel & Spa di sini hari ini.

Turut hadir, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin yang merupakan Penaung Diraja SAY.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, sesi perkongsian bersama 150 pemegang taruh belia itu akan dipertimbangkan oleh kementeriannya dalam Bajet 2021 yang dibentangkan pada 6 November ini.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan ucapan terima kasih kepada Raja Muda Selangor atas semangat dan sokongannya yang luar biasa terhadap belia amnya dan belia di Selangor secara khusus,” katanya.

Sesi itu iilhamkan oleh Tengku Amir Shah untuk mewujudkan platform bagi para belia di Selangor untuk bersuara pemikiran dan pendapat mereka mengenai perkara-perkara semasa yang mempengaruhi masyarakat.

Selangor kini kekal sebagai negeri dengan populasi belia tertinggi (unur 15 hingga 29 tahun) berjumlah 1,662,700 yang merupakan 18 peratus daripada jumlah populasi belia di Malaysia pada tahun lalu.

Sementara itu, SAY merupakan pertubuhan bukan kerajaan dan berasaskan keuntungan ditubuhkan oleh Tengku Amir Shah bagi mengenal pasti masalah dan isu belia di Selangor.

Ia juga menyediakan platform untuk menghubungkan golongan belia bahi menyumbang ke arah pembangunan negeri itu.

Dengan visi untuk mewujudkan generasi belia yang lebih dinamik dan progresif, SAY ditubuhkan berdasarkan empat bidang tumpuan iaitu sukan dan kesejahteraan, seni dan kreatif, keusahawanan dan khidmat masyarakat. – MalaysiaGazette