social media online
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pandemik Covid-19 menyaksikan banyak syarikat melabur dalam pembangunan infrastruktur digital dan rangkaian.

Perkembangan ini, menurut Pengarah Urusan Ranstad Malaysia dan Singapura, Jaya Dass menyebabkan banyak pekerjaan telah didigitalkan atau diganti dengan automasi.

“Pekerja-pekerja yang mana peranan mereka telah ditukar secara mendadak bagi memenuhi permintaan baharu mungkin mempunyai hasrat untuk menyertai syarikat lain, yang mana kemahiran dan pengalaman mereka masih relevan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Jaya, terdapat sesetengah pekerjaan mungkin mahu terus bertukar industri dan kerjaya serta mencari peluang pekerjaan yang kebal kemelesetan atau lebih selamat seperti penjagaan kesihatan dan teknologi.

“Kita menjangkakan lebih banyak pergerakan dalam pasaran kerja apabila ekonomi kembali rancak dan peluang pekerjaan baharu dibuka,” ujarnya lagi.

Beliau yang mengulas mengenai Kaji Selidik Nadi Buruh Covid-19 2020 yang dilakukan oleh Ranstad Malaysia berkata, kira-kira 58 peratus daripada responden berhasrat untuk mencari pekerjaan baharu dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Daripada jumlah itu, 24 peratus responden berkata, mereka mencari perubahan dalam karier atau industri yang mereka ceburi selama ini.

Kira-kira 13 peratus responden lagi berpendapat, kemahiran dan pengalaman yang mereka miliki ketika ini sudah tidak lagi relevan dengan keperluan pekerjaan semasa.

Manakala 15 peratus lagi memaklumkan mereka telah diberhentikan kerja.

Kaji selidik itu dijalankan ke atas 531 pekerja yang berada di Malaysia di antara 26 Jun 2020 hingga 5 Julai 2020.

Ia disasarkan untuk memahami sentimen pekerja tempatan berhubung pasaran buruh tahun ini serta cabaran dan pengalaman yang dialami oleh pencari pekerjaan setakat ini.

Tambah Jaya, pertukaran kerjaya dan tidak puas hati terhadap gaji merupakan alasan paling banyak diberikan mengapa pekerja-pekerja mahu mencari pekerjaan baharu.- MalaysiaGazette