Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri bercakap pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran Dana Kandungan Digital di Pejabat FINAS, Ulu Kelang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 14 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Tindakan berani beberapa pihak yang masih menjual filem-filem cetak rompak secara terbuka seolah-olah mencabar kewibawaan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Idham Ahmad Nadzri, berkata pihaknya kini sedang membuat siasatan berhubung kegiatan penjualan filem tempatan yang dicetak rompak di platform e-dagang.

“Kita (Finas) rasa tercabar apabila mereka secara terbuka menjual filem cetak rompak itu,” katanya dalam satu kenyataan.

“FINAS akan memberi tumpuan kepada pihak e-dagang dan juga mereka yang menjual filem-filem cetak rompak di platform terbabit.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas dua filem terbitan Astro First iaitu Keluarga Iskandar The Movie dan Ada Apa Dengan Dosa (AADD) dicetak rompak dan dijual secara terbuka di platform e-dagang berkenaan.

Pada masa sama, Ahmad Idham menjelaskan Finas juga kecewa dengan tindakan tidak bertanggungjawab pihak terbabit yang menjual filem-filem cetak rompak secara digital.

Pengarah Impak Maksima itu berkata, siasatan dilakukan bagi memastikan sama ada golongan terbabit mempunyai lesen pengedaran atau tidak, dan adakah sudah mendapat kebenaran pihak penerbit untuk menjual filem-filem tersebut.

“Berdasarkan laporan yang kami terima, mereka tidak mendapat kebenaran dari penerbit untuk menjual filem-filem tersebut,” katanya yang juga pelakon sebelum ini,

Ahmad Idham, 46, menjelaskan Finas akan mendapatkan maklumat daripada pihak-pihak e-dagang berkenaan sama ada mereka mengetahui bahawa produk dijual itu asli atau tidak.

“Kami nak tahu sama ada platform e-dagang berkenaan tahu atau tidak bahawa produk-produk yang dijual itu setengahnya adalah produk cetak rompak,” katanya. – MalaysiaGazette