Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali bercakap pada sidang media semasa menghadiri Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 05 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Kajian mengenai realiti sebenar isu buruh paksa dan menggaji kanak-kanak di Malaysia akan dihantar ke ke Jabatan Buruh Amerika Syarikat (DOL) secepat mungkin.

Menurut Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, kajian terhadap isu itu telah dimuktamadkan dan diperakui Kabinet itu diharap akan dapat menerangkan situasi sebenar mengenai dakwaan itu.

“Kajian itu antara lain memperakui bahawa berlakunya buruh paksa di Malaysia tetapi dengan kuantiti (jumlah kes) yang sangat kecil.

“Bagaimanapun, kita tekankan, khususnya kepada sektor perladangan dan komoditi supaya tidak menggunakan tenaga kanak-kanak untuk dijadikan buruh atau terbabit dengan isu buruh paksa,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Pada Julai lalu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata isu ini perlu diperjelaskan kepada pihak berkuasa Amerika Syarikat bagi memastikan eksport bekalan produk itu tidak terganggu ketika dunia sedang menghadapi pandemik Covid-19.

Azmin juga berkata rundingan dan perbincangan antara Top Glove dengan pihak AS yang menyekat import produk syarikat itu sedang berlangsung sekarang.

Baru-baru ini Top Glove mengeluarkan kenyataan bahawa pihak Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBPAS) telah mengeluarkan arahan sekatan terhadap sarung tangan pakai buang yang dikeluarkan dua anak syarikatnya, Top Glove Sdn Bhd dan TG Medical Sdn Bhd.

DOL pada pertengahan bulan lalu mengenakan larangan eksport produk dua anak syarikat itu kerana didakwa menggunakan khidmat buruh paksa.

Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP) dalam laman web rasminya meletakkan dua anak syarikat Top Glove itu dalam senarai perintah penahanan berkenaan. – MalaysiaGazette