Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR- Malaysia bersedia menghulurkan apa jua bantuan yang diperlukan oleh Lubnan kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam satu kenyataannya hari ini, Muhyiddin berkata, Malaysia mengucapkan takziah kepada seluruh rakyat Lebanon di atas tragedi letupan di Pelabuhan Beirut awal pagi tadi.

“Kerajaan dan rakyat Malaysia menzahirkan rasa simpati kepada keluarga mangsa yang terkorban dan cedera dalam kejadian itu, serta berdoa agar mereka tabah menghadapi dugaan ini.

“Malaysia bersedia menghulurkan apa jua bantuan yang diperlukan oleh Lubnan.

“Alhamdulillah, semua rakyat Malaysia di Beirut dilaporkan selamat,” katanya.

Abdul Hadi Awang

Sementara itu, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendoakan supaya Lubnan sentiasa di bawah lindungan Allah, diberikan kesejahteraan dan kesabaran yang tinggi kepada rakyatnya semasa ditimba ujian tersebut.

Beliau yang turut melahirkan rasa simpati di atas insiden tersebut mengulangi komitmen kerajaan untuk membantu Lubnan bangkit daripada bencana berkenaan.

“Saya bersimpati atas tragedi letupan di Beirut, Lubnan yang mengakibatkan puluhan terbunuh dan ribuan tercedera.

“Keamanan dan keselamatan rakyat perlu diutamakan, maka sebarang tindakan yang menggugat keharmonian adalah dikutuk dan wajar di bawa ke muka pengadilan,” katanya dalam satu kenyataan.

Anwar Ibrahim

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menzahirkan rasa simpati dan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta seluruh rakyat Lubnan.

“Saya mengikuti rapat insiden letupan besar di sebuah gudang di ibu kota Lubnan, Beirut yang meragut puluhan nyawa serta mencederakan ribuan orang awam yang lain.

Insiden ini ternyata menambah derita Lubnan yang kini turut dihimpit krisis kesihatan dan ekonomi.

“Semoga pihak berkuasa Lubnan dapat mengambil tindakan keras terhadap pihak yang bertanggungjawab mengakibatkan letupan berkenaan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pagi tadi.- MalaysiaGazette