Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan kaedah pembayaran tol yang baru bagi kenderaan penumpang persendiran menggunakan teknologi RFID oleh PLUS Malaysia Berhad (PLUS) baru-baru ini menyaksikan semakin ramai rakyat Kedah dan Pulau Pinang beralih kepada pembayaran tol tanpa sentuh dan tanpa tunai tersebut.

Ujian perintis awam yang disokong oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia tersebut telah menyaksikan kadar penggunaan RFID meningkat daripada 2.3% sehingga mencecah 10% sejak ia dilaksanakan dua minggu lalu.

Ia dijalankan di sembilan buah plaza tol Sistem Tertutup iaitu Hutan Kampung, Alor Setar Utara, Alor Setar Selatan, Pendang, Gurun, Sungai Petani Utara, Sungai Petani Selatan, Bertam dan Sungai Dua, sebelum sistem RFID dilaksanakan di lebuhraya sistem tertutup lain tidak lama lagi,

“Kadar peningkatan dalam tempoh singkat 14 hari adalah amat positif. Saya percaya ia akan terus meningkat apabila semakin ramai melihat faedah-faedah yang diperolehi daripada sistem pembayaran baharu ini.

”Paling ketara adalah ia dapat memastikan penjarakan fizikal dapat dilaksanakan berbanding pembayaran menggunakan kad yang sedia ada. Apabila ia dihubungkan dengan eWallet pelanggan, ia mengurangkan risiko pelanggan tersangkut di lorong tol akibat baki kurang yang mana pelanggan perlu menambah nilai secara fizikal dan terdedah kepada penyebaran Covid-19,” kata Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail.

Berikut adalah langkah-langkah yang perlu diambil sebelum mereka menggunakan sistem RFID yang bertepatan dengan norma baharu.

Langkah Pertama

Pelanggan perlu terlebih dahulu memuat turun Aplikasi Touch ‘n Go eWallet ke dalam telefon bimbit menerusi Google Play Store (bagi telefon Android) atau Apple App Store (bagi iPhone).

Langkah Kedua

Kunjungi Pusat Pemasangan RFID yang berdaftar untuk memasang dan mendapatkan tag pelekat RFID masing-masing. Rujuk https://mx.touchngo.com.my/fitment-centres untuk senarai pusat pemasangan RFID terkini.

Bagi pelanggan yang telah membeli tag pelekat RFID secara online, mereka digalakkan untuk mengunjungi pusat-pusat pemasangan RFID yang terdekat untuk memeriksa dan menguji pelekat tag RFID tersebut terlebih dahulu bagi mengelakkan kesulitan ketika melalui plaza tol.

Langkah Ketiga

Di Pusat Pemasangan RFID, petugas yang terlatih akan mengadakan ujian bacaan RFID terlebih dahulu untuk mengesan kedudukan yang paling sesuai untuk melekatkan pelekat tag RFID pada kenderaan. Data pada Pelekat Tag RFID tersebut akan dihubungkan dengan eWallet Touch ‘n Go di dalam telefon bimbit. Sekiranya tag RFID gagal melaksanakan transaksi di lorong tol, pelanggan perlu kembali semula ke pusat pemasangan terbabit untuk memasang tag RFID di titik alternatif. Tag gantian diberikan secara percuma.

Langkah Keempat

Tunggu notifikasi pengesahan dalam masa 24-jam selepas data tag RFID dikemaskini di semua plaza tol di seluruh negara.

Langkah Kelima

Tag Pelekat RFID tidak mempunyai baki. Pelanggan perlu membuat Tambah Nilai eWallet Touch ‘n Go secara online menerusi aplikasi Touch ‘n Go eWallet. Tambah nilai eWallet juga boleh ditetapkan secara automatik dengan nilai RM10, RM100 dan sebagainya bagi mengelakkan insiden baki rendah dan tidak mencukupi apabila melalui plaza tol.

Langkah Keenam

Setelah memastikan kesemua langkah-langkah di atas telah diikuti, pelanggan kini telah bersedia untuk masuk dan keluar dari lebuhraya menerusi Lorong Khas RFID di plaza tol.

Pelaksanaan pembayaran tol menggunakan RFID di lebuhraya PLUS dilakukan secara berperingkat bermula pada 1 Januari 2020 di 10 buah plaza tol Sistem Terbuka iaitu Plaza Tol Jitra dan Kempas (Lebuhraya Utara-Selatan), Lunas dan Kubang Semang (Lebuhraya Butterworth-Kulim), Jambatan Pulau Pinang, Mambau dan Lukut (Lebuhraya Seremban-Port Dickson) serta Perling, Lima Kedai dan Tanjung Kupang (Lebuh raya Linkedua).

Pada ketika ini semua transaksi tol menggunakan kad Touch ‘n Go dan SmartTAG masih lagi diterima di semua plaza tol PLUS. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa buah lorong SmartTAG di beberapa plaza tol kecil dengan jumlah lorong yang terhad telah digantikan dengan lorong khas RFID.

Walau bagaimanapun, kad Touch ‘n Go masih boleh digunakan di lorong Touch ‘n Go yang biasa. Pendekatan yang sama akan digunakan apabila RFID diperluaskan ke seluruh negara selepas ini.

Untuk pembayaran tol, PLUS juga mengingatkan bahawa tag pelekat RFID perlu dipasangkan pada kenderaan. Pelekat tag RFID yang gagal dipasang pada kenderaan boleh menyebabkannya dibatalkan dan disenarai hitam. – MalaysiaGazette