Saksi, Rayyan Radzwill Abdullah ketika hadir ke mahkamah untuk perbicaraan kes Datin Seri Rosmah Mansor berikutan projek sistem solar sekolah luar bandar di Sarawak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 03 OGOS 2020

KUALA LUMPUR – Saksi kes projek solar hibrid luar bandar di Sarawak mempertahankan setiap patah perkataannya dalam kenyataan bersumpah yang dilafazkan di mahkamah.

Rayyan Radzwill Abdullah berkata, beliau telah menjawab setiap soalan yang dikemukakan dengan jujur dan tanpa ragu-ragu.

”Saya ingin tegaskan di sini bahawa segala kenyataan yang saya telah lafazkan di mahkamah di bawah sumpah adalah benar i sepanjang pengetahuan saya dan berdasarkan kebenaran bukti yang ada dan tiada lain, selain benar,” katanya.

Artikel berkaitan: Kes Solar: Saksi dakwa Mahdzir Khalid minta habuan RM250 juta lulus projek

Solar hibrid: Mahdzir terkejut dituduh terima rasuah RM60 juta

Oleh itu, katanya, jika ada pihak-pihak yang sengaja cuba menimbulkan keraguan tidak munasabah atau cuba mendorong orang ramai untuk mempercayai kenyataan saya sebagai tidak benar, maka beliau menasihatkan mereka untuk segera mengambil tindakan undang-undang yang diperuntukan.

Katanya, pihak-pihak berkenaan tidak perlu membuang masa dengan mengulas atau memperihalkan tentang kenyataan bersumpahnya di media yang pastinya akan prejudis terhadap kejujurannya dan mengganggu pembicaraan yang sedang berlangsung dengan tidak bertanggungjawab.

”Saya ingin tegaskan sekali lagi bahawa saya akan terus mempertahankan setiap patah perkataan dalam kenyataan bersumpah saya di mahkamah tanpa ragu-ragu pada bila-bila masa sahaja seperti yang dibenarkan oleh undang-undang sekiranya dicabar,” ujarnya.

Rayyan berkata demikian bagi mengulas kenyataan Datuk Seri Mahdzir Khalid yang menafikan dakwaan seorang saksi yang menyatakan beliau telah meminta habuan sebanyak RM60 juta daripada syarikat Jepak Holdings Sdn. Bhd.

Susulan kenyataan tersebut, bekas Menteri Pendidikan itu mendapatkan nasihat guaman bagi mengambil tindakan sewajarnya untuk melindungi nama dan kepentingan beliau.

Mahdzir yang terkejut dengan kenyataan yang dibuat oleh Rayyan telah membuat penafian kepada tuduhan-tuduhan berkenaan ketika beliau sendiri menjadi saksi dan memberi keterangan kepada mahkamah sebelum ini.

Rayyan dalam kes kes rasuah membabitkan Datin Seri Rosmah Mansor mengatakan Mahdzir pernah meminta habuan sebanyak RM250 juta, atau 20 peratus, bagi kelulusan projek solar hibrid untuk sekolah di Sarawak .

Bagaimanapun, Rayyan yang juga saksi ke-16 berkata, setelah rundingan dilakukan, jumlah itu berjaya dikurangkan kepada RM60 juta atau RM1 juta setiap bulan selama lima tahun bermula 2016. – MalaysiaGazette