KUALA LUMPUR – Sejumlah 3,000 kilogram daging korban diedarkan kepada penerima yang layak menerusi Program Agihan Daging Korban anjuran Yayasan Jamin bersama Pertubuhan Kasih Neelofa di Teratak Che Dah dekat Rawang hari ini.

Pengerusi Yayasan Jamin, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, daging korban itu diagihkan kepada penghuni rumah anak yatim, tahfiz, rumah orang-orang tua, persatuan serta penerima yang layak sekitar Kuang, Gombak dan Selayang.

Katanya, antara penerima lain ialah yayasan artis veteran serta bekas kakitangan Utusan Malaysia.

Menurut beliau, kira-kira 30 ekor lembu dikorbankan untuk disumbangkan kepada mereka yang layak untuk program kali ini.

“Pogram ini merupakan kali pertama diadakan dan dianjurkan bersama Pertubuhan Kasih Neelofa.

“Malah, pihak kami juga melihat ke depan, iaitu mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau persatuan yang ingin bekerjasama, kita alu-alukan,” katanya.

Mengulas kerjasama bersama Pertubuhan Kasih Neelofa, beliau berkata, pihaknya menyediakan tempat dan pengendalian bagi program khidmat masyarakat seperti Program Agihan Daging Korban berkenaan.

“Tidak menjadi masalah untuk pihak Yayasan Jamin menguruskannya,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Kasih Neelofa yang juga artis terkenal, Neelofa berkata, ia merupakan projek pertama pertubuhan itu tahun ini.

Menurutnya, pihaknya memutuskan untuk melaksanakan program tersebut di dalam negara, memandangkan ramai rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Tujuan program ini adalah membantu mereka yang memerlukan. Selain itu, saya berkesempatan melakukan ibadat korban di kampung halaman saya, Pasir Mas, Kelantan,” ujarnya.

Neelofa turut mengucapkan terima kasih kepada Teratak Che Dah yang sudi menerima kunjungan mereka dan menjadi lokasi bagi pengagihan daging korban.

Turut hadir, pelakon veteren, Mubarak Majid dan Timbalan Pertubuhan Kasih Neelofa, Muhammad Hariz Mohd Ismail atau dikenali sebagai Pencetus Ummah Riz. – MalaysiaGazette