Siti Zailah Mohd Yusoff KPWKM unnatural sex women family children rape incest
Siti Zailah Mohd Yusoff

KUALA LUMPUR – Peruntukan sebanyak RM55.7 juta dikeluarkan oleh kerajaan bagi membantu kira-kira 190,000 orang kelainan upaya (OKU) termasuk yang kehilangan pendapatan berikutan Covid-19.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, ia merangkumi bantuan bakul makanan dan insentif khusus berbentuk bantuan khas menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Katanya, sebanyak RM300 diberikan kepada penerima bantuan di bawah skim Bantuan Kewangan Bulanan OKU yang merupakan Elaun Pekerja Cacat (EPC), Bantuan Orang Kurang Upaya Tidak Berupaya Bekerja (BTB) dan Bantuan Penjagaan OKU Terlantar/Pesakit Kronik Terlantar (BPT).

“Sehingga 5 Ogos 2020, bagi fasa satu, seramai 185,770 orang atau 97 peratus menerima bantuan khas ini dengan jumlah peruntukan yang disalurkan sebanyak RM55.7 juta.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang memproses bagi pembayaran fasa kedua kepada seramai 4,230 penerima baru bagi bulan Jun, Julai dan Ogos 2020 dengan peruntukan sebanyak RM1.3 juta,” katanya yang turut memberitahu bayaran tersebut akan diterima selewat-lewatnya pada 31 Ogos ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Muhammad Ahli Parlimen Balik Pulau (PH), Bakhtiar Wan Chik di Dewan Rakyat hari ini.

Bakhtiar ingin tahu sama ada kementerian itu menyalurkan bantuan kepada golongan OKU yang menyertai perkhidmatan refleksologi dan urutan selepas kehilangan sumber pendapatan akibat Covid-19.

Mengulas lanjut, Siti Zailah berkata, secara asasnya kementeriannya tidak menyediakan bantuan khusus untuk golongan OKU penglihatan yang bekerja.

Bagaimanapun katanya, bantuan sebanyak RM400 sebulan menerusi EPC diberikan kepada mereka yang terlibat dalam perkhidmatan refleksologi dan urutan serta mempunyai pendapatan di bawah RM1,200 adalah layak dipertimbangkan. – MalaysiaGazette