PUTRAJAYA- Peguam Lim Guan Eng berwajah murung ketika keluar dari Ibupejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini malam ini.

RSN Rayer yang juga Ahli Parlimen Jelutong juga kelihatan tiada mood mahu melayan sekumpulan wakil media yang menunggu di perkarangan Ibupejabat SPRM.

Ia ada kaitan dengan tindakan SPRM menahan Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP dan Ahli Parlimen Bagan sebelum itu berkaitan pendakwaan kes rasuah.

Kenderaan yang dinaiki Rayer diasak oleh sekumpulan wakil media yang menanti sejak 9 malam tadi bagi mendapatkan perkembangan terkini penahanan Guan Eng.

Kereta Rayer terpaksa menunggu lampu isyarat merah di hadapan SPRM pada mulanya enggan melayan walaupun cermin keretanya diketuk sekurang-kurangnya dalam lebih 20 wakil media.

Beliau asyik menggelengkan kepala manakala wakil media juga tidak pula berputus asa dan terus ‘menyerang’ bertalu-talu persoalan berhubung Guan Eng.

Kerana terus diasak banyak kali akhirnya beliau menurunkan cermin sebelum berkata; “Kita akan terus lawan di mahkamah nanti.

“Saya bersama Gobind Singh dan juga Ramkarpal Singh akan berada di mahkamah esok,” katanya sebelum menutup kembali cermin keretanya.

Mukanya juga kelihatan serius pada masa itu.

Apabila ditanya sama ada Guan Eng telah ditahan pada malam ini memandangkan beliau tidak keluar bersamanya, beliau enggan mengulas.

MalaysiaGazette difahamkan terdapat ‘bukti’ baharu berhubung kes terowong bawah tanah itu yang membawa penahanan Guan Eng.

Sebelum ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan beberapa ahli Exco dan bekas Exco kerajaan negeri turut memberi keterangan kepada SPRM berhubung projek mega berkenaan yang membabitkan anggaran kos keseluruhan RM6.3 bilion.

Sehingga kini, SPRM sudah menahan seorang bekas pegawai Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang dan tiga syarikat diserbu kerana dipercayai ada kaitan dengan projek berkenaan.

Kes itu disiasat oleh SPRM sejak tahun 2017. – MalaysiaGazette