Ketua Jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail

KOTA BHARU – Setelah hampir lima bulan tidak beraksi, pemain Kelantan United FC (KUFC) bakal diuji pada perlawanan persahabatan menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Muhammad ke-IV di sini, malam esok.

Ketua Jurulatih KUFC Zahasmi Ismail berkata perlawanan itu adalah persediaan kepada pasukannya untuk menghadapi perlawanan sebenar baki saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang akan disambung semula pada 26 Ogos ini selepas ditangguhkan akibat penularan COVID-19.

“Perlawanan itu boleh menjadi ujian kecergasan dan ketahanan pemain yang sudah lama ‘berehat’ bagi menghadapi tempoh perlawanan sebenar, mereka lama tidak bermain, kecergasan dalam perlawanan itu akan menjadi masalah kepada pasukan ketika ini,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sebelum Liga-M ditangguhkan, KUFC berada pada kedudukan kedua dalam saingan Liga Premier dengan memperoleh sembilan mata selepas mengharungi empat perlawanan hasil daripada tiga kemenangan dan satu kekalahan.

Zahasmi berkata perlawanan malam esok membantu beliau dan barisan jurulatih untuk menilai setakat mana kemampuan pasukan menghadapi baki perlawanan yang masih panjang.

“Kami juga mahu menguji kejatian diri pemain untuk memudahkan pihak barisan kejurulatihan mencari kesebelasan utama.

“Pertemuan dengan pasukan TFC yang beraksi pada saingan Liga Super akan menjadi platform kepada diri saya untuk menguji prestasi semasa pemain selepas hampir sebulan menjalani latihan,” katanya.

Katanya, beliau mahu pemainnya menggunakan sepenuhnya minit perlawanan malam esok untuk mengembalikan dan mencari rentak permainan masing-masing.

“Saya tidak mahu pada perlawanan sebenar nanti, berehat lama menjadi alasan untuk pemain tidak memperoleh keputusan yang gembira…guna sebaik mungkin tempoh latihan dan persediaan yang tinggal beberapa minggu lagi,” katanya.- BERNAMA