Lim Guan Eng

PUTRAJAYA – Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkemungkinan akan didakwa di mahkamah Jalan Duta berhubung skandal projek terowong dasar laut negeri itu esok.

Malah sejak petang tadi khabar angin bertebaran yang bekas Menteri Kewangan itu akan ditahan malam ini.

Namun MalaysiaGazette difahamkan oleh sumber ada kemungkinan beliau akan didakwa esok berhubung projek terowong dasar laut pagi esok.

Ketika ini Guan Eng telah pun tiba di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya ditemani peguamnya RSN Rayer.

Guan Eng menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang sejak 2008 sehingga 2018.

Ahli Parlimen Bagan (DAP) dan Setiausaha Agung DAP itu sebelum telah dipanggil tiga kali untuk memberi keterangan dalam kes projek terowong dasar laut kerajaan Pulau Pinang yang telah menimbulkan banyak persoalan.

MalaysiaGazette difahamkan terdapatnya bukti baharu berhubung kes terowong bawah tanah itu namun tidak dapat dipastikan lagi kesahihan perkara itu.

Sebelum ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan beberapa EXCO dan bekas EXCO kerajaan Pulau Pinang turut memberi keterangan kepada suruhanjaya itu berhubung projek mega berkenaan yang membabitkan anggaran kos keseluruhan RM6.3 bilion.

Sehingga kini, SPRM sudah menahan seorang bekas pegawai Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang dan tiga syarikat diserbu kerana dipercayai ada kaitan dengan projek berkenaan.
Kes itu disiasat oleh SPRM sejak 2017. – MalaysiaGazette